SUBANG: Seorang lelaki dikepung penduduk Kampung Kenangan Batu 13 di sini apabila kelakuan peliknya menggunakan coli untuk melampiaskan nafsu terbongkar. Sebelum itu, sebuah keluarga sering tertanya-tanya kenapa pakaian dalam ahli keluarga wanitanya mengambil masa lama untuk kering. Perbuatan lelaki itu bagaimanapun terbongkar apabila ahli keluarga berkenaan melihat sendiri apa yang dilakukannya ketika menghampiri tempat sidai pakaian di luar rumah mereka pada 4.30 petang, Selasa. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pengadu mendengar sebuah motosikal berhenti di depan rumah mereka pada petang Selasa. "Apabila mengintai dari bawah pintu, kelihatan sepasang kaki berjalan ke tempat menjemur pakaian. "Apabila mangsa keluar, didapati suspek bertubuh gempal sedang lakukan sesuatu pada pakaian dalam yang dijemur. Mangsa nampak apa yang sedang dilakukan lelaki itu," katanya. Katanya, pengadu kemudiannya mendapatkan bantuan jiran dan mengepung suspek yang merayu supaya dilepaskan. "Bagaimanapun pemandu lori itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. Ketika disoal siasat, lelaki berusia 55 tahun itu mengaku telah tiga kali ke pekarangan rumah itu untuk melampiaskan nafsunya. "Kami mengambil coli biru dan oren yang dijemur dan mendapati ada kesan air mani pada kedua-duanya," katanya.