KUANTAN: Berlatarbelakangkan muzik Cina, Kimberly Lok Kim Bee memberikan sepenuh perhatian kepada jahitan manik bercorak naga sebagai kemasan terakhir cheongsam berwarna merah garang. Sesekali matanya melirik ke arah pola corak di hadapannya sebagai rujukan agar setiap perincian naga yang menjadi simbolik kekuatan dan keberanian masyarakat Cina dijahit sehalus mungkin. "Ini proses paling cerewet dalam pembuatan cheongsam. Kena sabar dan ada masanya kita bergelut dengan diri sendiri untuk menambah perincian sendiri. Sebab itu disiplin kena kuat," katanya kepada Bernama. Kimberly, 50, yang mengusahakan butik Kim Design di sini, mengakui beliau dan 10 pekerjanya tidak menang tangan sejak beberapa bulan lalu untuk menyiapkan tempahan pelanggan sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada Isnin depan. Setiap hari Kimberly dan pekerjanya menyiapkan empat hingga lima pasang, bergantung kepada kerumitan corak yang diminta pelanggan manakala anaknya Vincci Ng, 25, akan membantu dalam kemasan terakhir seperti jahitan manik dan butang. Katanya cheongsam masih menjadi busana pilihan masyarakat Tionghua pada sambutan Tahun Baru Cina, walaupun dengan beberapa perubahan padanya seiring dengan perkembangan masa. Antara perubahan itu ialah penggunaan kain lace di bahagian atas dada untuk pemakai yang berani dan yakin dengan tubuh mereka, selain pemilihan warna yang tidak lagi terhad kepada merah, seperti kelaziman. Selain itu, Kimberly turut menerima tempahan menjahit cheongsam berlengan panjang dan tanpa belahan di kiri dan kanan, sebaliknya digantikan dengan kain susun belakang atau mempunyai kain potongan duyung. "Potongan ini khusus untuk mereka yang beragam Islam, namun masih mahu menggayakan cheongsam. Kedua-dua potongan ini juga boleh dijahit agak longgar berbanding cheongsam yang biasanya agak ketat mengikut potongan badan. "Bagaimanapun, cheongsam itu masih mengekalkan nilai tradisional seperti kolar leher yang tinggi dan butang di bahu. Ini tidak boleh diubah kerana ia adalah identiti cheongsam," katanya. Mengulas mengenai pemilihan corak pada cheongsam, Kimberly menjelaskan selain corak naga, corak burung phoenix atau flora seperti bunga teratai atau bunga mei hwa atau bunga sakura sering menjadi pilihan ekoran maksudnya yang baik. Dari segi pemilihan warna, Kimberly menjelaskan merah yang melambangkan keberanian masih menjadi pilihan ramai, walaupun ramai golongan muda semakin gemar memilih warna pastel seperti 'mint' atau 'baby pink'. "Warna hitam yang dahulunya menjadi pantang larang untuk digunakan pada hari pertama Tabun Baru Cina kerana seakan-akan berkabung juga semakin digemari. Ramai yang mengatakan cheongsam hitam nampak lebih elegan dan mudah disesuaikan dengan aksesori," katanya. Kimberly berkata walaupun cheongsam agak kurang sesuai digayakan ke pejabat seperti baju kurung kerana 'agak seksi', penggunaanya boleh dipelbagaikan untuk ke majlis keraian, majlis rasmi atau perkahwinan. "Sebab itu, menjahit cheongsam sekarang tidak lagi terhad pada musim perayaan. Saya juga perlu pastikan fabrik sutera dari China sentiasa ada kerana tempahan boleh datang tanpa diduga. Kain ini juga agak mahal iaitu bermula RM58 semeter," katanya. Selain itu, Kimberly turut menggunakan kain batik dari Indonesia, yang menjadikan cheongsam sesuai digunakan untuk urusan kerja seharian ekoran coraknya yang tidak terlalu sarat dan material yang sesuai dengan cuaca di Malaysia.