TELUK INTAN: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pengamal perubatan tradisional yang menghadapi pertuduhan mencabul kehormatan seorang pesakit awal bulan lalu. Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menetapkan tarikh tersebut bagi serahan dokumen berikutan tertuduh Roslan Omar, 44, telah diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Pengamal perubatan itu menghadapi pertuduhan mencabul seorang wanita berumur 31 tahun semasa proses rawatan di sebuah rumah di Jalan Pasar, Bagan Datoh dekat sini antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi, 2 Januari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun. - BERNAMA