suria

Dugaan Mencari Jemaah

ASSALAMUALAIKUM.  Pada 12 Disember semua jemaah bersiap sedia untuk ke Tanah Suci Makkah bagi menyempurnakan ibadat umrah. Semua tampak tenang di lobi hotel Jawharat Fayroz menunggu bas yang dijadualkan tiba pada jam 2 petang.

Keadaan di hotel ketika itu amat sibuk kerana jemaah baru sahaja menikmati makan tengah hari dan ada juga yang baru pulang dari Masjid Nabawi. Sebelum turun ke lobi, saya menangis semahu hati kerana tidak dapat menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W dan Raudah kerana masih lagi uzur.

Terasa sungguh sedih kerana tidak dapat menunaikan solat di dalam Masjid Nabawi dan menziarahi Rasulullah. Biarpun saya redha dengan fitrah yang perlu dilalui oleh setiap wanita tetapi gagal mengawal emosi tatkala kaki mahu melangkah keluar dari kamar penginapan.

Biarpun baru meninggalkan Madinah pada Oktober 2015 dan beberapa kali memasuki Raudah ketika bertindak sebagai petugas haji tetapi kerinduan begitu mendalam terhadap junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W

Melihatkan beberapa jemaah belum menaiki bas, hati saya gusar lantas menaiki tangga ke dewan makan untuk mencari mereka. Ada yang baru saja mengambil makanan dan sedang menyuap nasi.

Tidak sampai hati pula melihat mereka yang baru saja menjamu selera.Namun, saya terpaksa menasihatkan mereka agar tidak mengambil masa terlalu lama kerana bas sudah berada di tepi hotel dan perlu mengambil 16 lagi jemaah di Hotel Manazel Muhajirin. Saya turun semula ke lobi dan bertemu dengan mutawif bernama Azmi, anak muda dari Selangor yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah.

“Azmi, kita kena ambil sekumpulan jemaah lagi di hotel lain ye,” kata saya ringkas.

“Di mana hajah?” tanya beliau yang baru saja saya kenali melalui seorang lagi kenalan yang juga sedang menuntut di Madinah.

“Di Hotel Manazel Muhajirin, jauh dari sini jika hendak berjalan kaki,” ujar saya.

“Di mana tu ye? Saya tak pernah ke hotel itu,” balas Azmi.

“Atas dari tanah perkuburan Baqi’ dan dekat dengan mahkamah,” ujar saya lagi.

“Jauh tu. Hajah ingat tempatnya tak?” tanya Azmi.

“Kalau naik kenderaan tak pasti sebab semalam saya jalan kaki ke sana,” balas saya pula.

“Tak mengapalah, insya Allah, pemandu mungkin tahu,” kata Azmi.

Pada kira-kira jam 2.30 petang bas bergerak ke Hotel Manazel Muhajirin. Pemandu tidak begitu pasti kedudukan hotel berkenaan lantas menghubungi rakannya menerusi talian telefon. Sejurus hampir tiba di hotel berkenaan, saya pula turun bersama-sama Azmi untuk memastikan hotel yang dicari adalah tepat. 

Alhamdulillah, sejurus terlihat hotel berkenaan, saya dan Azmi melambai-lambai ke arah pemandu bas yang berhenti di simpang tiga. Sejurus melihat bas menuju ke hotel, saya memasuki lobi dan meminta jemaah mengambil bagasi masing-masing untuk memuatkannya di dalam perut bas. Segala-galanya berjalan lancar dan hanya seketika.



Selepas itu, kami berangkat ke Bir Ali untuk bersolat sunat ihram dan melafazkan niat ihram umrah. Bermulalah talbiah di dalam bas yang menuju ke Tanah Suci Makkah. Setelah penat bertalbiah, jemaah membawa haluan masing-masing. Ada yang tidur, ada yang mengaji dan membaca buku doa dan ada juga yang berzikir.

Pemandu kelihatan cermat dan berhemah sepanjang perjalanan. Dari hari pertama menggunakan khidmat bas disediakan, mereka tidak curi tulang atau sengaja meminta tips daripada jemaah. Malah, kelindan bas juga rajin membantu menyusun dan mengangkat bagasi jemaah. 

Kira-kira jam 9.30 malam, kami tiba di depan hotel Le Meridien untuk menurunkan empat jemaah sekeluarga yang menginap di hotel berkenaan dan selang beberapa hotel kelihatan hotel Retaj As-Safwahh yang bakal kami huni sehingga tanggal 19 Disember.

Saya hanya berjalan kaki dari hotel Le Meridien untuk ke hotel Retaj As-Safwah dan meminta bas menurunkan jemaah di depan hotel berkenaan bersama-sama mutawif. 

“Ana, kak tak ikut tawaf saie dengan kumpulan jemaah lain ye,” ujar kak Sarina yang sering berkunjung ke Tanah Suci.

“Oh baiklah. Jadi kakak buat sendiri tawaf dan saie. Tak perlu ikut mutawif,” balas saya pula.

“InsyaAllah,” balas beliau yang datang bersama-sama dua anaknya  dan suami.

Saya terus ke lobi hotel dan meminta kunci bilik daripada pengurusan hotel yang sudah sedia menunggu kedatangan kami. Setelah mengagihkan kunci bilik saya meminta jemaah makan malam di lantai R dan memberi masa kira-kira satu jam untuk turun semula berkumpul di lobi bagi menyempurnakan rukun umrah. 

Seperti dijadualkan, semua jemaah berkumpul di lobi hotel, manakala mutawif menunggu mereka. Jemaah lelaki di hadapan dan perempuan di belakang. Semua beratur di depan hotel untuk memulakan langkah. Saya lihat mutawif asyik leka berbual-bual dengan rakan mutawif lain dan sedikit sebanyak menyebabkan saya kurang selesa. 

“Boleh tak kamu bawa jemaah bertawaf dahulu. Jika tidak penting, nanti pun boleh bercakap dengan rakan kamu ini. Sekarang perlu uruskan dulu jemaah yang sudahpun menunggu untuk ke masjid,” tegas saya.

“Baiklah hajah. Maaf hajah,” balas beliau dengan nada perlahan.

“Terima kasih,” jawab saya ringkas.

Rakannya pula bergegas berlalu pergi meninggalkan kami. Saya berasa lega kerana tidak mahu jemaah menunggu lama kerana malam semakin larut. Sudah tentu mereka kepenatan setelah seharian di dalam bas mengharungi perjalanan dari Madinah ke Makkah.

Saya menghantar jemaah hingga pintu masuk King Fahd kerana ketika itu laluan ke King Abdul Aziz ditutup kerana kerja-kerja pembinaan dimulakan kembali. Ketika musim haji, pintu King Abdul Aziz dibuka dan ini memudahkan jemaah untuk keluar masuk ke Masjidil Haram.

Saya pulang semula ke hotel untuk berehat dan esoknya bertemu semula jemaah di dewan makan untuk bersarapan. Wajah keletihan jelas terpancar namun Alhamdulillah mereka sihat dan tidak mengeluh.

Cuaca sungguh nyaman. Ketika itu, suhu di Makkah sekitar 20 darjah Celsius. Seharian jemaah berehat untuk menghilangkan penat lelah namun dua hari selepas umrah pertama disempurnakan, ramai jemaah merebut peluang untuk menunaikan umrah sekali lagi dengan miqat di Jaaranah.

Semua tampak bersemangat pada hari hendak berziarah ke sekitar kota Makkah iaitu di Jabal Tsur, Jabal Rahmah, melalui kawasan sekitar Arafah, Mina serta Muzdalifah dan paling akhir ialah Jaaranah.



Di Jabal Tsur, ada jemaah tidak turun dari bas tetapi di Jabal Rahmah, sebahagian besar jemaah turun untuk mendaki Jabal Rahmah yang menjadi titik pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa setelah terpisah bertahun-tahun.

Setiap kali ke Jabal Rahmah, jemaah tentu mengambil masa panjang kerana ramai yang akan mendaki bukit itu dan berdoa di puncaknya. Justeru, lazimnya, jemaah mengambil masa kira-kira 45 minit hingga satu jam di situ.

Setelah setengah jam di Jabal Rahmah, ramai jemaah mula menaiki bas semula. Seorang demi seorang. Namun, ada beberapa jemaah lelaki belum juga kelihatan. Mutawif mula mencari ke sana ke mari tetapi 10 minit kemudian, mereka juga menaiki bas. Saya sangka semua jemaah sudah naik lantas mengira satu persatu. 

“Eh ada seorang lagi tak naiklah,” ujar saya bersendirian sambil diperhatian oleh jemaah lain.

“Kak Shida tak ada. Tadi dia di tempat duduknya. Mana pula kakak ni?” soal saya mula bimbang.

“Ana…Shida tak ada ke?” tanya kak Siti pula.

“Tak ada. Agaknya ke tandas,” ujar saya.

“Mungkin dia beli makanan atau ais krim,” ujar seorang jemaah lelaki.

“Dia puasa,” balas kak Siti.

Saya dan kak Siti mencari beliau di sekitar tandas. Saya memanggil-manggil namanya dengan lantang tetapi tiada jawapan dari setiap tandas. Kak Siti pula berjalan di sekitar kaki bukit dan tidak juga menemuinya.

“Cuba telefon jemaah tu,” nasihat seorang lagi jemaah.

“Dia tak bawa telefon, ” ujar rakan sebiliknya.

Saya semakin bimbang memikirkan kak Shida yang berusia dalam lingungan pertengahan 50-an. Biarpun beliau pernah ke Tanah Suci tetapi pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Setelah 20 minit mencari dan menunggu, akhirnya kak Bada muncul di dalam bas dan memohon maaf kepada semua jemaah kerana menunggunya.

Entah ke mana beliau menghilang hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui kerana apabila ditanya adakah beliau naik ke Jabal Rahmah, jawapannya tidak. Mungkin dia berdoa di kaki bukit dan tanpa disedari mengambil masa sedikit lama.

Saya terasa lega dan mengucapkan Alhamdulillah. Begitu juga jemaah lain. Kak Shida pula kelihatan letih dan kurang bermaya.  Namun, saya perhatikan dia rajin membaca buku-buku doa dan berzikir.

Jemaah penuh sesak di Jaaranah sejurus kami tiba di tempat miqat itu. saya menasihatkan jemaah agar mengambil wuduk dengan botol yang dibawa atau membeli air mineral di kawasan masjid.

Namun, ada jemaah yang terpaksa masuk ke tandas untuk membuang air kecil sebelum menunaikan solat. Kawasan tandas sungguh padat. Dalam hati kecil saya, janganlah jemaah saya lambat kerana ramai jemaah tidak mahu terlepas solat Zuhur berjemaah di Masjidil Haram.



Setiap kali melihat jemaah TM Tours, saya meminta mereka terus menaiki bas dan tidak berbelanja di kawasan itu kerana bimbang kelewatan. Namun, setelah melihat bas kian penuh, saya mula mengira jemaah tetapi seorang lagi belum muncul.

“Mana pula pergi Nina?,” tanya saya pada ibu saudaranya, Nourul.

“Tadi memang dia dengan kakak tetapi dia cakap nak masuk tandas sekejap,” ujar beliau dengan wajah penuh kebimbangan. 

“Tak mengapalah Ana cari di kawasan tandas nanti, kakak jangan risau,” pesan saya.

Saya meminta mutawif memegang raket TM Tours di perkarangan masjid Jaaranah, manakala saya pula mencari di luar tandas.

Dia tiada di dalam tandas dan kawasan sekitarnya. Hati saya mula risau lantas menaiki bas semula dengan harapan Nurul sudah ada. Alhamdulillah, tepat jangkaan saya, Nina terlihat mutawif dan terus menaiki bas.

“Dalam tandas ramai orang hajah,” ujar Nina.

“Ye. Alhamdulillah semua orang dah ada,” balas saya pula.

Bas terus bergerak pantas untuk kembali semula ke hotel Retaj. Alhamdulillah, kami tiba sebelum jalan di sekitar Masjidil Haram ditutup dan dapatlah jemaah bersolat Zuhur di masjid.

Tugas mencari jemaah yang lewat naik ke bas menyebabkan saya benar-benar letih pada hari berkenaan. Cadangan awal untuk menunaikan umrah sekali lagi dan bermiqat di Jaaranah saya batalkan kerana kepenatan . 

Apabila berhadapan dengan situasi seumpama itu, saya teringat kata-kata Dr Sam Rasputin yang berpendapat tugas dan tanggungjawab membawa serta menguruskan jemaah di Tanah Suci besar ganjarannya. Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Saya Anak Malaysia itu pernah menyertai rombongan umrah bersama-sama saya pada April 2010.

Ikuti pengalaman saya seterusnya pada minggu hadapan insyaAllah.

Jabal Rahmah, Baqi', Jabal Tsur, Bir Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain