Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dalam satu sidang media di Wisma Darulaman, kira-kira pukul 11.10 pagi Rabu.
Sidang media itu dibuat sejurus selepas Mukhriz selesai mengadakan sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa serta-merta.
"Adalah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Mukhriz telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa pada 3 Februari 2016.
"Berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz, Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah memperkenan Datuk Ahmad Bashah, Adun Bakar Bata dilantik sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa 4 Februari 2016," katanya pada sidang media.
Menurut beliau, majlis pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu akan diadakan pada 4 Februari 2016 (Khamis) pada jam 10 pagi di Istana Anak Bukit, Alor Setar.