KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari ibu negara menghala ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilaporkan mulai sesak di beberapa kawasan setakat 12.30 tengah hari Jumaat berikutan pertambahan jumlah kenderaan sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu depan. Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata trafik di PLUS bagi arah utara dilapor sesak sepanjang tiga kilometer dari Jawi ke Bandar Baharu manakala trafik juga perlahan dari Slim River ke Sungkai akibat kemalangan kecil di KM366.7 di laluan itu. "Bagi Lebuhraya PLUS arah selatan, hanya satu laluan dari Senai ke Pulai menghala ke utara dilaporkan sesak sepanjang dua kilometer disebabkan kemalangan," katanya. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan trafik ke arah Pantai Timur di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 masih bergerak lancar. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.