suria

Banduan Lolos Dari Penjara Marang Diberkas

MARANG: Banduan yang melarikan diri dari Penjara Marang sejak 14 hari lalu berjaya ditahan polis petang semalam di Kampung Padang Tanjung Bukit Payong di sini.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali berkata penahanan banduan yang berusia 23 tahun tersebut adalah hasil maklumat daripada orang awam.

"Pihak polis kemudiannya ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan yang dilakukan kita mengesahkan lelaki tersebut merupakan banduan yang sememangnya dikehendaki pihak polis setelah melarikan diri dari Penjara Marang pada 24 Jan lalu," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Ahad.

Mohd Suhaimi berkata suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada jagaan yang sah.

Menurutnya ketika ditangkap, suspek berada dalam keadaan tidak bermaya dipercayai tidak mendapat makanan mencukupi sepanjang 14 hari berada di pinggir hutan.

Mohd Suhaimi berkata pihaknya turut mengenal pasti beberapa individu yang disyaki memberi perlindungan kepada suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan atas kesalahan melindungi atau menyembunyikan suspek dengan niat hendak menyembunyikan pesalah daripada ditangkap.

"Kita juga mendapat maklumat, suspek ada berjumpa dengan saudaranya sejak tiga hari lalu dan saudaranya berusaha memujuknya untuk menyerah diri kepada pihak polis.

"Suspek kini dikenakan tahanan reman empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Suspek yang berasal dari Kampung Paya Resak itu menjalani hukuman enam bulan penjara sejak 3 Jan lalu atas kesalahan mencuri dalam bangunan, dipercayai melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang tandas penjara berkenaan ketika sedang mengikuti kelas agama. 

Marang

Artikel Berikut

Artikel Lain