suria

Jangan Campuri Konflik MIC, Kata Subra Kepada Parti Komponen BN

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak mencampuri masalah dalaman parti itu.

Dr Subramaniam yang merujuk kepada kehadiran beberapa pemimpin parti komponen BN pada sambutan Ponggal anjuran bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel minggu lalu berkata, tindakan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Ya, MIC masih ada lagi beberapa masalah dalaman tetapi kita sedang berusaha untuk menanganinya.

"Pendirian kita adalah untuk tidak mencampuri hal parti komponen lain, jadi adalah adil untuk mereka berbuat perkara sama terhadap kita," katanya pada Ahad.

Ditanya sekiranya beliau akan membawa perkara itu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Subramaniam berkata, beliau berharap tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Sebagai pengerusi, beliau lebih arif dari saya mengenai peraturan dan undang-undang yang mentadbir gabungan ini.

"Saya tidak perlu beritahu beliau mengenai isu ini, saya yakin beliau akan buat apa yang perlu dilakukan," tambah Subramaniam.

Palanivel menganjurkan festival Ponggal minggu lalu, yang dihadiri oleh Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas, Presiden Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambanthan, Presiden Makkal Sakthi, Datuk RS Thanenthiran dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran.  

Para pemimpin berkenaan mendakwa pertubuhan diketuai mereka menyokong Palanivel.

Mengenai kes mahkamah difailkan Palanivel terhadap beliau, Dr Subramaniam berkata, beliau dan parti akan bertemu dengannya di mahkamah.

"Saya yakin kenyataan oleh Pendaftar Pertubuhan adalah berdasarkan fakta.

"Kita akan berjuang sehingga ke saat akhir," tambahnya.

Dr S. Subramaniam, MIC

Artikel Berikut

Artikel Lain