suria

Sokong Negara Dan Parti Bukan Individu - Rafidah

Rafidah Aziz.

PETALING JAYA: Parti dan negara tidak sepatutnya menjadi mangsa apa jua tindakan mereka yang berada dalam kedudukan sebagai pemimpin, kata bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya pada Sabtu, bekas menteri Kabinet itu memberitahu 'pak turut' bahawa beliau akan terus menyuarakan pendapatnya kerana prihatin terhadap Umno dan negara.

Mengulas mengenai isu politik yang melanda negara baru-baru ini, Rafidah berkata kesetiaan seharusnya ditujukan kepada negara dan parti bukan individu.

"Individu akan datang dan pergi tetapi parti dan negara tidak boleh dikompromi," katanya.

Pada Jumaat lalu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegur tindakan veteran Umno itu yang secara jelas menolak kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya hairan dan geleng kepala apabila membaca posting beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin dan taat patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden.

"Prinsip ini seolah-olah telah digadai bila mana beliau secara terang menyangkal kepimpinan Presiden Umno dan membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu yang berlaku di dalam parti dan kepimpinan negara," katanya Shahrizat.

Rafidah bagaimanapun menegaskan beliau setia kepada parti dan sanggup mati sebagai ahli Umno.

"Parti pernah dibatalkan pendaftarannya pada 1987 akibat perebutan kuasa, pak turut pasti terlupa detik hitam dalam sejarah parti.

"Sudah berlaku keretakan di dalam parti dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia, tiada sesiap perlu meminta sokongan untuk pemimpin sebagai individu.

"Minta orang ramai untuk menyokong parti dan negara," katanya.

Pada masa sama beliau turut meminta pemimpin supaya berhenti hidup dalam penafian dan menghentikan sikap politik berpuak-puak.

"Dunia sedang melihat pemimpin Malaysia dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

"Berhenti menjadi seperti burung unta yang membenamkan kepalanya ke tanah, dengar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya dengar dari individu berkepentingan," katanya.

Artikel Lain