PELABUHAN KLANG: Kapal Tentera Laut Algeria, El Fatih 921, yang baharu sahaja selesai menjalani ujian penerimaan di Shanghai, China kini berlabuh di sini selama empat hari bagi tujuan ulang bekal dan berehat. Pegawai Koordinasi lawatan berkenaan, Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Amirudin Azman berkata sempena berada di sini, ketua kapal itu Leftenan Kolonel Abada Abdel Latif dan pegawai atasan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional Datuk Zaaim Hasan. Kapal tentera laut Algeria, El-Fatih 921. "Pegawai-pegawai atasan TLDM akan turut mengadakan lawatan ke kapal tersebut bagi melihat keberkesanan kapal buatan China itu yang masih belum ditauliahkan. "Lawatan ini semestinya akan merapatkan lagi hubungan antara TLDM dan Tentera laut Algeria," kata Amirudin kepada pemberita di sini Rabu. Kapal sepanjang 120 meter dan 14 meter lebar itu mempunyai pelbagai kelengkapan senjata dan radar berteknologi tinggi. Ia dikendali oleh seramai 121 kelasi. - BERNAMA