suria

Abai 15 Panggilan, Pekerja Pusat Beli-Belah Terkejut Rumah Musnah Terbakar

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: "Saya tak sangka 15 panggilan telefon yang tidak dijawab adalah panggilan untuk memaklumkan rumah saya terbakar," demikian reaksi Noriza Ninggal, yang rumahnya terbakar dalam kejadian di Setapak di sini, petang Khamis.

Noriza, 50, yang bertugas di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju, berkata dia tidak dapat menjawab panggilan telefon itu kerana sibuk bekerja dan hanya menyedari kejadian tersebut dua jam selepas rumahnya terbakar kira-kira 4 petang tadi.

Kediaman Noriza di tingkat 14 Blok C Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas di Jalan Usahawan, Setapak, yang didiami sejak lapan tahun lepas, musnah sama sekali akibat kebakaran itu.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dia yang tinggal bersama suami dan tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan, berusia antara enam dan 23 tahun ketika ditemui pemberita, berkata kerugian yang dialami keluarganya dianggarkan RM20,000.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 24, berkata setelah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh isterinya, dia pergi ke rumah itu untuk cuba memadamkan kebakaran, namun api yang marak menyebabkan dia bersama 20 lagi jiran sukar berbuat demikian.

Katanya, dia dimaklumkan oleh kakaknya yang tinggal di sebelah rumah mangsa bahawa suami Noriza dan anak bongsunya yang berada di rumah ketika itu berjaya menyelamatkan diri.

"Suami mangsa yang panik akibat kejadian itu meminta bantuan kakak saya untuk menghubungi bomba sebelum beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bersama anak bongsunya kerana mengalami kecederaan ringan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Setapak Suki Annuar berkata sistem kebakaran di blok berkenaan yang gagal berfungsi menyukarkan bomba untuk memadamkan kebakaran.

"Bomba terpaksa menggunakan pili bomba terletak di bawah blok sebagai sumber utama mendapatkan air bagi operasi pemadaman. Mujur, jiran mangsa yang membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba di lokasi, sedikit sebanyak membantu kami dalam operasi ini," katanya, sambil menambah api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6 petang.

Suki berkata tujuh jentera dengan kekuatan 39 anggota dari balai bomba Setapak, Wangsa Maju, Sentul, Hang Tuah dan Cheras terlibat dalam operasi itu setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.21 petang, dan tiba di lokasi 14 minit kemudian.

Punca kebakaran dan kerugian sebenar masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, Pembantu Operasi Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shamsul Sharil berkata kesemua mangsa akan ditempatkan sementara di sebuah dewan berdekatan, sebelum diberi sebuah unit rumah baharu kelak.

Artikel Lain