KENINGAU: Batu Sumpah di daerah ini akan diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara berdasarkan kepentingannya ke atas sejarah Sabah terutamanya dalam menyertai pembentukan Malaysia, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata Batu Sumpah akan diwartakan sebagai Objek Warisan di bawah Seksyen 49 Akta Warisan Kebangsaan Malaysia 2005. "Batu Sumpah ini sememangnya mempunyai kepentingan sejarah Malaysia. Maka, wajarlah ia diwartakan. Hari ini, kita akan memulakan proses menjadikan Batu Sumpah sebagai warisan negara," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Batu Sumpah di Pejabat Urus Setia Daerah Keningau di sini, Jumaat. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri JosephPairin Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan SriJoseph Kurup. Batu Sumpah berbentuk tapak kaki besar di hadapan Pejabat Daerah Keningau, merupakan monumen bersejarah yang didirikan sekitar 1960-an susulan perjanjian Parti Pasok Momogun dengan Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak kebebasan beragama dan adat istiadat masyarakat pribumi Sabah.Ia juga sebagai tanda taat setia masyarakat pribumi Sabah kepada Kerajaan Persekutuan. Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata kerajaan negeri Melalui Jabatan Muzium Sabah bersetuju mewartakan Batu Sumpah di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan 1997) Negeri Sabah. "Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Warisan Negara akan memberi khidmat nasihat dalam aspek pemuliharaan dan pemelihaaraan serta perlindungan terhadap Batu Sumpah terutamanya semasa usaha pemindahan termasuk penyedian teks plak Batu Sumpah. "Oleh itu, kita sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada pihak kerajaan negeri dalam usaha melindungi objek itu (Batu Sumpah), bangunan dan tapak warisan itu kelak," katanya. Sebelum ini, Pejabat Daerah Keningau telah bersetuju untuk memindahkan Batu Sumpah ke tapak baharu di tanah milik kerajaan berhampiran Muzium Warisan KeningauPemindahan ke lokasi Baharu itu bertujuan memudahkan orang ramai dan pelancong mengunjungi Batu Sumpah, sekali gus menjadikannya antara produk pelancongan utama di daerah itu. Sementara itu, Mohamed Nazri berkata pihaknya akan memastikan proses pemindahan Batu Sumpah ke tempat baharu dapat dilaksanakan secepat mungkin. "Peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membina semua kemudahan di lokasi baharu Batu Sumpah akan diutarakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan untuk tindakan lanjut," katanya.-- Bernama