KEHADIRAN 'Spiderman' di bandar Kota Baru, Kelantan sejak seminggu lalu menjadi tumpuan orang ramai sehingga menjadi viral di laman sosial. Menurut laporan Berita Harian, karakter adiwira itu digunakan sebagai gimik untuk menjual nasi lemak dengan harga RM2 sepaket. Bapa kepada dua anak, Zawawi Ghazali, 29, memakai pakaian 'Spiderman' untuk menarik orang ramai datang ke gerai nasi lemaknya. "Ramai menganggap idea saya mengarut, tapi dalam seminggu nasi lemak Siperderman saya dijual antara 150 hingga 300 paket sehari," kata Zawawi. Lelaki tersebut yang tinggal di Kampung Kemubu, Ketereh berkata dia mula menjual nasi lemak tersebut pada pukul 8 pagi setiap hari. Dengan bantuan dua anak saudaranya, Mohd Irfan Shukri, 20 dan Mohd Nablan Shukri, 18, Zawawi berkata dia akan menggerakkan gerainya di beberapa lokasi di sekitar bandar Kota Baru. Beliau berkata kostum Spiderman itu dibeli secara dalam talian dari China dengan harga RM500. Menurut Zawawi, resipi nasi lemak tersebut merupakan hasil air tangan ibunya, Rahumah Hassan, 53, yang turut menjalankan perniagaan menjual nasi lemak.