suria

Sindiket Dadah Bernilai Bilion Ringgit Ditumpaskan

Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

KUALA LUMPUR: Hampir enam tahun dari 2009 hingga 2015, sindiket dadah dari dua negara yang bermaharajalela di Malaysia, menyeludup masuk bahan terlarang itu ke dalam negara dari beberapa lokasi seperti Nigeria dan China dan menghantar keldai dadah ke negara Amerika Selatan.

Dagangan yang bernilai berbilion ringgit itu melibatkan 30 sindiket dari dua negara utama seperti Iran dan Nigeria.

Namun, Bukit Aman dapat menghidu kegiatan tersebut dan bertindak pantas mematahkan rangkaian sindiket berkenaan.

Seramai 482 pengedar dadah warga Iran dan 798 ahli sindiket dari Nigeria berjaya ditahan pihak berkuasa.

Tulang belakang sindiket tersebut kini sudah dilumpuhkan.

Hampir kesemua sindiket utama dari kedua-dua negara itu ditumpaskan dalam satu usaha intensif yang memberi tumpuan kepada pengumpulan maklumat risikan dan kerjasama antarabangsa antara agensi penguatkuasa undang-undang dari pelbagai negara.

"Kedua-dua negara itu bukan lagi 'kuasa besar' seperti sebelum ini kerana operasi mereka di negara ini telah dilumpuhkan.

"Kebanyakan ahli sindiket melarikan diri ke negara masing-masing manakala beberapa lagi masih beroperasi di negara jiran," kata Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada The Star dalam satu temubual eksklusif sejak dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, April tahun lalu.

Beliau berkata 'evolusi' daripada sindiket dari kedua-dua negara itu berhubung kait antara satu sama lain.

Pada awalnya, sindiket warga Nigeria merekrut wanita dari Malaysia sebagai keldai dadah dengan seramai 185 ditahan antara 2012 dan 2015.

"Mereka akan menghantar wanita-wanita tersebut ke negara seperti Brazil dan Venezuela. Di sana, mereka akan diikat dengan kokain dan dihantar untuk diagihkan kepada negara Amerika Selatan yang lain.

"Namun, modus operandi ini berubah apabila pengedar warga Iran meyakinkan Nigeria untuk tidak hanya berurusan dengan kokain tetapi juga methamphetamine," katanya.

Kedua-dua sindiket itu kemudian mula membawa masuk sejumlah besar methamphetamine atau syabu ke negara ini melalui kargo udara dan kapal kontena.

"Iran adalah dalang utama industri syabu di dalam negara dan dalam tempoh enam tahun lalu, kita berjaya merampas lebih satu tan dadah.

"Mereka menggunakan pelbagai cara termasuk keldai dadah manakala beberapa pengedar menyamar sebagai pelajar universiti swasta dan tinggal di pangsapuri mewah di lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang," katanya.

Pengedar warga Iran akan membeli pangsapuri mewah bernilai sehingga RM3 juta secara tunai.

Ada juga diantara pengedar yang membeli kereta mewah termasuk sebuah Ferrari.

"Mereka tidak takut untuk menunjukkan kekayaan mereka," kata Mohd Mokhtar.

Warga Nigeria yang menyeludup masuk heroin dari Afghanistan kemudian mengikut jejak langkah pengedar Iran dan mula membawa masuk methamphetamine dari negara asal mereka.

"Namun untuk memenuhi pasaran di rantau ini, pengedar warga Nigeria perlu mencari pengeluar syabu yang lebih dekat. Sumber utama mereka adalah dari China.

"Polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Kawalan Nikortik Kebangsaan China dalam memerangi sindiket dadah," katanya.

Selepas enam tahun, Mohd Mokhtar berkata jabatannya berjaya menumpaskan rangkaian dadah yang digunakan kedua-dua sindiket ini.

"Kami telah meningkatkan operasi terhadap mereka dalam tempoh yang sama melalui pelbagai unit, terutamanya Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING).

"Mereka digunakan untuk membawa dadah dalam kontena besar tetapi itu adalah perkara yang lepas pada hari ini," katanya.

Mohd Mokhtar berkata JSJN berjaya merampas pelbagai dadah termasuk 385.35kg syabu, 368.32 ganja dan 39.49kg heroin dari sindiket warga Nigeria sejak tempoh tujuh tahun lalu.


STING, sindiket dadah

Artikel Lain