suria

Papar Harga Terangkum - KPDNKK

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Pengguna yang sering dikelirukan agar membayar harga lebih tinggi daripada yang mereka jangkakan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan mampu menarik nafas lega tidak lama lagi.

Pihak peniaga tidak lagi dibenarkan menyembunyikan surcaj tambahan pada harga yang dipaparkan sekiranya cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Dasar Harga Terangkum (SPP) dilaksanakan.

Di bawah SPP, pihak peniaga diwajibkan untuk memaparkan harga terangkum termasuk caj perkhidmatan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan beberapa surcaj tambahan yang tersembunyi.

Menurut sumber, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mempertimbangkan langkah tersebut selepas menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai pemaparan harga yang mengelirukan.

"Terdapat banyak contoh di mana pengguna sebenarnya terpaksa membayar kos lebih tinggi untuk sesuatu produk atau perkhidmatan daripada harga yang dipaparkan.

"Surcaj tambahan ini biasanya disembunyikan dalam teks kecil fine print dan penafian (disclaimers).

"Jadi sekiranya SPP dilulus dan dilaksanakan, peniaga hanya dibenarkan memaparkan harga terangkum termasuk semua cukai, duti dan bayaran tambahan," katanya.

Sebagai contoh, katanya, sebuah hotel tidak akan lagi dibenarkan untuk mengiklankan kos untuk bilik tertentu hanya RM270 apabila pengguna sebenarnya terpaksa membayar RM314.82 iaitu RM27 merupakan caj perkhidmatan manakala RM17.82 untuk GST.

Satu lagi industri penerbangan di mana pengguna boleh juga dikelirukan apabila harga tiket yang diiklankan kebiasaannya tidak termasuk cukai lapangan terbang dan fi perkhidmatan penumpang.

Katanya, sebuah syarikat penerbangan hanya mengiklankan harga tiket untuk ke sesuatu destinasi adalah serendah RM206 tetapi ia tidak termasuk beberapa caj tersembunyi yang lain.

"Akhirnya pengguna terpaksa membayar jumlah kos minimum RM368.90 termasuk cukai berkaitan dan caj tambahan untuk tiket yang diiklankan pada harga RM206," katanya.

Sumber berkata kementerian tersebut sedang memperhalusi cadangan tersebut selepas mendapat maklum balas daripada pengguna dan peniaga.

Dalam satu majlis KDPNKK baru-baru ini, seorang pegawai mengesahkan Dasar Harga Terangkum sedang diperhalusi tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Jika langkah itu dilaksanakan, ia memerlukan pindaan dilakukan terhadap Akta Perihal Dagangan 2011.

Difahamkan perniagaan yang mungkin terlibat dengan pelaksanaan ini adalah industri makanan dan minuman, pelancongan, telekomunikasi, perniagaan dalam talian, kesihatan dan farmaseutikal, rekreasi dan hiburan, perbankan dan perkhidmatan kewangan, peruncitan dan pengangkutan.

"SPP akan membantu mewujudkan etika perniagaan lebih adil dan memastikan pengguna mendapat nilai sebenar untuk wang mereka," kata sumber.

Sumber berkata dengan tidak memasukkan 'kos tersembunyi' seperti cukai dan caj perkhidmtan, perniaga juga tidak adil kepada pesaing mereka.

"Mereka akan menggambarkan bahawa harga mereka jauh lebih rendah berbanding pesaing tetapi hakikatnya, sebaliknya berlaku.

"Jadi dengan memaparkan harga yang sebenar, pengguna akan dapat menilai produk dan perkhidmatan yang mereka inginkan," kata sumber.


Dasar Harga Terangkum, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain