suria

Pekerja Asing Penuhi Keperluan Sektor Tidak Diisi Rakyat Tempatan

SHAH ALAM: Cadangan untuk membawa masuk buruh asing termasuk warga Bangladesh ke negara ini dilihat wajar bagi memenuhi keperluan sektor industri yang tidak diisi pekerja tempatan.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kebergantungan industri terhadap buruh asing itu adalah didorong kekurangan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi permintaan sektor berkenaan.

"Dari kajian yang saya buat baru-baru ini, tenaga kerja tempatan termasuk dari kumpulan belia kurang menyertai beberapa sektor pekerjaan seperti dalam bidang perkilangan, pembinaan serta perladangan.

"Bagi mengatasi masalah itu wajarlah kita membawa masuk tenaga kerja dari luar," katanya yang juga Presiden Majlis Belia Selangor.

Irmohizam berkata demikian ketika ditemui pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan bercadang untuk membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Menyentuh isu sama Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu cadangan kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini.

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan mengutamakan anak tempatan dalam memenuhi penawaran pekerjaan dalam pelbagai sektor bagi memastikan kebajikan anak tempatan terutamanya golongan belia terbela selain mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap tenaga buruh asing.

"Kita merayu kerajaan utamakan anak tempatan serta beri peluang kepada mereka dalam pelbagai bidang (pekerjaan) di negara ini," katanya.

Pekerja Bangladesh

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan