JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan meluangkan masa memandu tren sewaan khas dari stesen JB Sentral ke Segamat. Ini merupakan kali kesembilan baginda memandu kereta api setelah kali terakhir pada 28 Julai 2013 dari stesen Segamat ke JB Sentral. Sultan Ibrahim memandu tren itu dengan diiringi oleh dua pemandu lokomotif Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Mohd Kamal Asmawi dan Supawi Ismail. Kedua-dua pemandu tersebut mempunyai pengalaman antara 10 hingga 20 tahun memandu kereta api KTMB. Terlebih dahulu, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin membacakan doa sebelum tren yang dipandu Sultan Johor itu memulakan perjalanan. Kereta api berkenaan memulakan perjalanan dari JB Sentral kira-kira 9.45 pagi dan dijangka tiba di Stesen KTMB Segamat pada kira-kira 2.45 petang. Baginda akan memandu tren sejauh 180 kilometer. Perjalanan yang melalui lapan stesen KTMB itu membabitkan tren enam gerabak yang mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam. Sepanjang perjalanan, baginda difahamkan mahu meninjau keadaan kebersihan dan kemudahan pengangkutan di laluan rel demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Baginda memiliki lesen memandu kereta api Kelas 26 pada 28 Jun 2010.-- Bernama