PORT DICKSON: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di kalangan warga rumah kebajikan tidak pernah diabaikan masyarakat berbilang bangsa negara ini. Seiring semangat muhibbah, Kumpulan Hotel Lexis tampil menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya bagi meraikan penghuni Rumah Sejahtera Jimah di Lukut dekat sini. Sesungguhnya kehadiran warga kerja sektor perhotelan ini sedikit sebanyak dapat mengubati rasa sunyi dan menambahkan suasana keceriaan di rumah kebajikan yang mula beroperasi sejak 1968 itu. Rumah Sejahtera Jimah menempatkan 16 warga tua dari pelbagai latar belakang seperti kehilangan ahli keluarga, selain kerana kesempitan hidup. “Kami ingin mereka tahu masih ada yang kasih dan peduli kepada mereka. Oleh sebab itu, kami meluangkan waktu untuk beramah mesra bersama mereka,” kata Pengurus Besar, Lexis Hibiscus Port Dickson, Yeow Hock Siew. Lawatan itu tambah meriah dengan adanya persembahan Tarian Singa bagi menghiburkan penghuni Rumah Sejahtera Jimah. Sementara itu, kata Pengurus Besar Kanan hotel Grand Lexis Port Dickson, Chan Hon Ming, sambutan Tahun Baharu Cina pihaknya tidak akan lengkap tanpa lawatan ke rumah kebajikan berkenaan. “Setiap tahun kami pasti berkunjung ke sini sempena Tahun Baharu Cina untuk menggembirakan hati mereka. Ini adalah komitmen kami sebagai sebuah badan korporat yang prihatin terhadap keperluan komuniti setempat selain untuk mewujudkan kesedaran serta rasa tanggungjawab sosial di kalangan staf hotel Lexis dan masyarakat sekeliling. “Kami turut memberikan ‘ang pow’ dan limau Mandarin sebagai simbolik rezeki yang banyak selain mendoakan mereka agar mendapat nasib yang baik dan tuah yang berkekalan sepanjang tahun. Kami juga turut memberikan barang-barang keperluan sebagai persediaan sambutan perayaan kali ini,” kata Hon Ming lagi. Chef dari hotel Lexis telah menyediakan menu makan tengah hari yang begitu sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina. Juadah pembukaan dimulakan dengan penghuni Rumah Sejahtera Jimah bersama-sama menggaul ‘Yee Sang’. Seterusnya penghuni Rumah Sejahtera Jimah dijamu dengan Longevity Noodle simbolik kepada kesihatan yang baik dan umur yang panjang. Menu lain yang disediakan termasuk ayam dimasak dengan Mok Yee dan cendawan, Ikan Masam Manis, Tauhu dengan makanan laut dan sayuran goreng. Salah seorang penghuni rumah ini, Wong Shen Siang, 86, berterima kasih kepada pihak hotel Lexis kerana sudi menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama mereka. "Terasa kemeriahannya apabila menyambut beramai-ramai. “Ada antara kami yang ditinggalkan keluarga, ada yang telah kehilangan saudara mara, tidak kurang juga yang memilih untuk tinggal di sini bagi meringankan beban keluarga. Ada penghuni yang bernasib baik masih menerima kunjungan dari ahli keluarga masing-masing. Kisah lama usah dikenang, kami tetap bahagia bersama-sama menumpang berteduh di sini,” kata Shen Siang. Shen Siang yang menetap di rumah kebajikan itu sejak 2005 adalah penghuni paling lama dan paling tua yang tinggal di rumah ini.