PUTRAJAYA: Sejumlah 27 lokasi panas di sekitar Kuala Lumpur dikenal pasti menjadi tumpuan pengedar dan penagih dadah dengan kebanyakannya tertumpu di kawasan perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Suhaimi Abdullah berkata daripada jumlah itu, lima kawasan PPR yang diberi perhatian serius adalah Flat Sri Sabah, San Peng, Desa Rejang, Sungai Bunos dan Flat Air Panas. Katanya, 70 peratus daripada 3,000 tangkapan penagih dadah pada tahun ini sejak Januari adalah daripada 27 lokasi panas itu, dan menerusi program Jelajah AADK 2016, sebanyak 172 lokasi panas dikenal pasti di seluruh negara. "Program yang bermula 11 Februari sehingga hari ini, AADK telah bekerjasama dengan ketua menteri, 20 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam menangani serta mencari jalan membanteras gejala dadah," katanya. Suhaimi berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Perancangan Strategik AADK 2016-2020 kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di kementerian di sini, Rabu. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib. Menurutnya, tumpuan serius diberikan kepada kawasan perumahan dan PPR kerana penagih dan pengedar dadah kini beroperasi di dalam rumah masing-masing dan trend baharu ini amat membimbangkan. "Kalau dahulunya, penagih dan pengedar dadah beroperasi di tempat-tempat awam tetapi sekarang, mereka mendapatkan bekalan dadah dari rumah-rumah. "Oleh kerana itulah, AADK sering melakukan operasi membanteras dan menahan pengedar serta penagih dadah di kawasan perumahan dan PPR," katanya. Justeru, Suhaimi berkata perancangan strategik AADK akan memberi tumpuan tentang penyalahgunaan dadah mulai Jun ini dengan menjalankan program intelek asuhan rohani (Pintar) bagi sekolah rendah dan program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (Shield) bagi sekolah menengah. Statistik AADK menunjukkan 26,668 penagih dadah dikesan di seluruh negara bagi tahun lepas berbanding dengan 21,777 bagi 2014, katanya, sambil menambah 340,000 orang kena pengawasan direkodkan sejak 1990.-- Bernama