suria

Selepas Kekasih, Pengawal Keselamatan Didakwa Rogol Kerani Pula

Anggota Polis membawa keluar Tarmizi Yaakob, 21, setelah dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau pada Rabu atas tuduhan merogol kerani pada Oktober tahun lalu. Foto Bernama

BALIK PULAU: Seorang pengawal keselamatan pada Selasa didakwa merogol kekasihnya seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima, dan dia pada Rabu yang sebelum ini berdepan pertuduhan membunuh pelajar itu pada Oktober lepas, didakwa pula di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan merogol seorang kerani. 

Tarmizi Yaakob, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol gadis berusia 21 tahun itu dengan cara mengacukan pisau serta mengugut untuk membunuh mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Teluk Kumbar dekat sini antara pukul 4.30 hingga 5.30 pagi pada 8 Oktober tahun lepas mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding pada Rabu, Tarmizi yang juga dikenali dengan panggilan 'Babun', dilihat memberi reaksi berbeza apabila bersuara ketika Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz mengajukan soalan kepadanya berbanding Selasa dengan hanya tunduk mendiamkan diri.

Dalam prosiding ini juga, Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan rogol adalah serius dan memohon tarikh sebutan bagi serahan dokumen.

Sementara itu Tarmizi ketika menjawab soalan hakim berkenaan pelantikan peguam berkata dia belum melantik peguam dan hidupnya pula sebatang kara.

"Saya tidak ada ibu dan bapa dah. Mereka sudah meninggal dunia yang hanya ada kakak sahaja," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan melantik peguam.

Pada Selasa, Tarmizi didakwa merogol pelajar perempuan Tingkatan Lima yang juga kekasihnya manakala pada 6 November tahun lepas, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kekasihnya itu di Teluk Kumbar di sini. - Bernama

Artikel Lain