suria

Suami Isteri Ditahan, Enam Kenderaan Klon RM500,000 Dirampas

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain (kanan) menunjukkan cukai jalan palsu yang digunapakai pada sebuah kereta klon selepas sidang media mengenai rampasan kereta klon, di ibu negara, Rabu.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang terlibat dalam urusan jual beli kenderaan klon ditahan dalam satu operasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini awal pagi tadi.

Operasi pukul 1 pagi oleh anggota Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur itu berjaya merampas enam kenderaan klon pelbagai jenis bernilai kira-kira setengah juta ringgit.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi  dijalankan hasil risikan serta intipan sejak seminggu lalu, dan ketika operasi dijalankan, pasangan suami isteri berumur 47 dan 30 tahun itu berada di lokasi berkenaan dipercayai untuk urusan jual beli dengan pelanggan mereka.

"Pemeriksaan ke atas kereta jenis Volvo S80 yang dinaiki suspek mendapati ia adalah kenderaan klon.

"Selepas soal siasat dibuat, polis berjaya menemui lima lagi kenderaan klon yang diletakkan di tingkat lima dan enam tempat letak kereta di TBS," katanya dalam sidang media, di sini, Rabu.
 
Enam kenderaan yang dirampas adalah Volvo S80, Jaguar X-Type, Audi A4, Mini Cooper, Toyota Vios dan Toyota Wish. 

Mohd Nadzri berkata siasatan awal mendapati kenderaan klon dijual dengan harga serendah RM4,500 mengikut jenis kereta.

"Sindiket ini juga menggunakan tempat letak kereta awam sebagai tempat meletakkan kenderaan klon mereka. Ini bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kenderaan terbabit dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Singapura melalui Tambak Johor untuk pasaran di Lembah Klang.

"Kenderaan klon ini menggunakan cukai jalan dan nombor pendaftaran kereta yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika kereta klon adalah Toyota Vios, mereka akan menggunakan cukai jalan kereta Vios juga pada kenderaan klon itu," katanya sambil menambah kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.-- Bernama


TBS, Mohd Nadzri Hussain, klon

Artikel Lain