HARGA minyak mentah yang kian merosot di pasaran dunia menimbulkan masalah belanjawan untuk hampir kesemua negara pengeluar minyak di Teluk Arab. Hari ini harga minyak, yang diukur melalui harga piawai antarabangsa minyak mentah Brent, berkisar sekitar harga AS$32 setong, berbanding dengan harga yang mencapai paras ketinggian AS$135-140 setong sekitar tahun 2008. Kejatuhan lebih dari AS$100 setong sudah tentu menjejaskan perancangan belanjawan sesebuah negara yang bergantung hampir keseluruhannya kepada pendapatan hasil jualan minyak, apatah lagi kemerosotan harga tersebut telah berlanjutan sejak tahun 2014 sehingga kini. Boleh dikatakan ekonomi hampir kesemua negara ahli Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC) bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari hasil ekspot jualan minyak mentah dan gas. Negara-negara GCC terdiri daripada Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Oman dan Emirat Arab Bersatu (UAE). Pemandangan sebuah medan pengeluaran minyak di Arab Saudi. Arab Saudi sebagai sebuah negara pengekspot petroleum yang terbesar di dunia dan juga negara pengeluar petroleum yang kedua terbesar di dunia telah memperolehi pendapatan sebanyak AS$118 bilion tahun lepas hasil daripada jualan hasil petroleum. Angka tersebut merupakan kemelesetan 23% daripada pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2014. Harga minyak mentah yang merudum lebih dari 70% daripada paras harga pertengahan tahun 2014, menyebabkan ekonomi negara-negara pengekspot minyak seperti Arab Saudi yang bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak mentah, menderita. Bagi Arab Saudi, pendapatan hasil ekspot minyak menampung hampir setiap aspek kehidupan awam mereka. Pekerjaan untuk rakyat, jalan raya dan jambatan, peruntukan penyelidikan, harga petrol subsidi – hampir kesemuanya ditampung oleh kekayaan minyak Arab Saudi yang cukup besar. Namun kemelesetan harga minyak yang berterusan sepanjang tahun lalu kini mengancam sistem ekonomi Arab Saudi yang bergelumang dengan minyak. Harga minyak yang susut sehingga paras bawah AS$30 setong pada suatu ketika bulan lalu telah menyebabkan Kerajaan Arab Saudi meramalkan kekurangan (defisit) belanjawan sebanyak AS$87 bilion pada tahun 2016 andainya harga minyak kekal disekitar paras AS$35-40 setong.. Sebagai langkah awal untuk mengatasi kekurangan belanjawan, Kerajaan Arab Saudi telah mula mengumumkan beberapa langkah untuk mengurangi faedah-faedah yang selama ini dinikmati oleh rakyat bermula dengan harga kenaikan petrol. Bermula awal Januari tahun ini harga minyak petrol telah dinaikkan sebanyak 50% untuk petrol gred 95 yang kini berharga 90 halalah seliter (60 halalah sebelum kenaikan) sementara harga petrol gred 91 dinaikkan menjadi 75 halalah seliter daripada 45 halalah sebelum ini. Pemandu kereta Arab Saudi di pam stesen minyak petrol. Pemotongan subsidi dijangka akan memberi kesan ekonomi yang besar terhadap hampir keseluruhan rakyat Arab Saudi yang selama ini telah menikmati kemewahan hasil daripada pendapatan harga minyak sejak bertahun tahun yang lampau. Harga bekalan air dan elektrik juga telah dinaikkan selaras dengan pemotongan subsidi. Berikut adalah diantara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat Arab Saudi. Selain daripada harga minyak petrol yang diberi subsidi, rakyat juga menikmati khidmat penjagaan kesihatan percuma, persekolahan percuma serta tiada cukai pendapatan. Hampir 90% rakyat Arab Saudi bekerja dengan kerajaan di sektor awam yang membayar gaji lebih tinggi dari sektor swasta. Mereka juga menikmati faedah pengangguran (unemployment benefit) yang diperkenalkan mulai 2011 untuk menangani sebarang pemberontakan dalaman. Dana pembangunan tanpa faedah turut diperuntukkan untuk membantu keluarga membeli rumah dan memulakan perniagaan. Dalam pada itu, kesan kejatuhan harga minyak bukan saja dirasakan di Arab Saudi, malah di kebanyakan negara Teluk Arab yang lain. Setakat ini Qatar dan Oman turut mengikut langkah yang diambil oleh kerajaan Arab Saudi untuk menaikkan harga minyak petrol awal tahun ini. Di Qatar, minyak petrol gred 97 kini berharga QR1.30 seliter berbanding dengan QR1.00 sebelum kenaikan harga yakni kenaikan sebanyak 30% manakala di Oman pula, minyak petrol gred 97 dinaikkan sepertiga harga sebanyak 160 baisa berbanding 120 baisa sebelumnya. Kenaikan harga minyak petrol sememangnya telah dijangka di kesemua negara GCC susulan polisi kerajaan untuk membentangkan belanjawan yang berhemah dan berteraskan penjimatan. Subsidi yang terpaksa dikurangkan akibat kejatuhan harga minyak mentah global kini memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara-negara pengekspot petroleum. Kini, di antara kesemua negara GCC, harga minyak petrol yang paling murah terdapat di Kuwait, diikuti oleh Arab Saudi dan seterusnya Bahrain, Qatar dan Oman. Berdasarkan harga minyak petrol hari ini, UAE merupakan negara di mana harga petrol adalah yang paling mahal di kalangan negara GCC di mana petrol gred 95 berharga 1.70 dirham seliter. Al Malik Salman memerintah dalam keadaan penuh mencabar di Arab Saudi. Pengurangan subsidi dan penghapusan beberapa faedah yang selama ini rata-rata dinikmati oleh rakyat di segenap pelusuk negara GCC mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Namun adalah dijangkakan beberapa faedah strategik akan terus dikekalkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat – di Arab Saudi, adalah dijangkakan pinjaman wang tanpa faedah untuk membeli rumah kepada warga yang layak akan terus dikekalkan. Begitu juga belanjawan sektor keselamatan dan pertahanan Arab Saudi dijangka tidak akan dipotong sewenang-wenangnya. Tahun lalu, Arab Saudi memperuntukkan 11% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk perbelanjaan pertahanan dan angka tersebut dijangka meningkat tahun ini selagi konflik di Yaman dan Syria berterusan. Sejauh mana kejatuhan harga minyak mentah global akan memberi kesan terhadap sosio-ekonomi negara-negara GCC masih menjadi tanda tanya setakat ini. Harga minyak yang tinggi beberapa tahun yang lalu telah membolehkan negara-negara pengeluar minyak di GCC membina rizab matawang asing yang tinggi. Oleh yang demikian, adalah dijangkakan keadaan harga minyak rendah masa kini tidak akan menimbulkan masalah yang serius untuk tempoh tiga atau empat tahun yang mendatang. Kadar pengangguran di Arab Saudi dan beberapa negara GCC yang lain kelihatan meningkat. Di Arab Saudi, angka tidak rasmi menunjukkan pengangguran sebanyak 12% namun angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana rakyat Arab Saudi lazimnya memang tidak memohon untuk bekerja! Salah satu kaedah yang mudah untuk menampung kekurangan belanjawan adalah melalui tindakan kerajaan mengenakan cukai. Namun, istilah cukai pendapatan atau cukai jualan adalah istilah asing dan hampir tidak wujud sama sekali dalam budaya Arab. Apabila kaedah ini digunapakai, kerajaan mungkin terpaksa berhadapan dengan risko rakyat yang bakal memberontak!