suria

600,000 Rakyat Malaysia Bekerja Di Sektor 3D Tetapi Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Tanggapan mengenai rakyat Malaysia enggan bekerja di sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar adalah tidak benar kerana ramai sedang melakukan pekerjaan ini di luar negara, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Pertubuhan Rapat Malaysia, A. Rajaretinam berkata, punca rakyat Malaysia tidak mahu melakukan kerja 3D di negara sendiri kemungkinan besar disebabkan oleh tawaran gaji yang rendah.

"Berdasarkan rekod kita, kira-kira 600,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam sektor 3D. Jika mereka boleh melakukan pekerjaan itu di luar negara, mereka juga boleh melakukannya di sini.

"Masalahnya ialah mengapa mereka mahu bekerja dengan gaji RM900 sekiranya mereka dibayar S$1,000 sebulan di Singapura untuk melakukan kerja yang sama?," katanya pada sidang media, Rabu.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengumumkan seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pengumuman itu mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kebanjiran pekerja asing di negara ini, serta peluang pekerjaan lebih rendah untuk rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta belia tempatan supaya melakukan kerja-kerja di sektor 3D.

Sementara itu, Pengerusi bersama Gabungan NGO India Malaysia, K. Arumugam dalam sidang media sama, menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum untuk pekerjaan di sektor 3D.

"Mereka sanggup melakukan kerja-kerja lasak, tetapi anda perlu membayar mereka secara berpatutan. Gaji bulan yang munasabah adalah sekurang-kurangnya RM1,500. Jadi, mereka masih boleh menampung keluarga masing-masing," katanya.

Artikel Lain