BAGAN DATOH: Jabatan Imigresen Teluk Intan akan membantu Jabatan Kesihatan negeri untuk membuat pemeriksaan kesihatan ke atas warga asing khususnya rakyat Indonesia yang tiba di Jeti Terminal Feri Hutan Melintang bagi mengekang penularan virus Zika. Ketua Jabatan Imigresen Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata ia selaras dengan arahan kerajaan agar pintu masuk antarabangsa negara dikawal rapi. "Selain melakukan pemeriksaan pasport pelawat, kita juga membantu pihak Jabatan Kesihatan menyediakan kemudahan bilik pemeriksaan lanjut untuk tujuan saringan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu. Khairul Anuar ditemui selepas pemeriksaan terhadap sebahagian daripada 302 penumpang feri yang tiba dari Pelabuhan Teluk Nibung, Tanjung Balai Asahan, Indonesia petang tadi. Katanya pejabat kesihatan telah meminta ejen perkapalan untuk memaklumkan kepada penumpang mengenai pemeriksaan dan saringan kesihatan yang bakal dilalui sebaik tiba di jeti berkenaan. Berdasarkan statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sebanyak 33 negara melaporkan jangkitan virus Zika dari Januari 2014 hingga 5 Februari tahun ini. -- Bernama