suria

Yeop Tapah Akan Tinggal Di NWRC

SUNGKAI: Seekor harimau  yang terperangkap dengan jerat khinzir sejak Ahad lalu akan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

Harimau jantan yang kini diberi nama 'Yeop Tapah'  itu tercedera di kaki kanan akibat terkena dawai perangkap yang dipasang oleh Orang Asli di Batu 10, Jalan Pahang itu berusia dalam lingkungan 14 ke 17 tahun dengan anggaran berat 170 kilogram.

Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Rozidan Md. Yasin berkata, Yeop Tapah yang kini dalam sesi pemantauan pihaknya, akan dijadikan baka untuk aktiviti pembiakan di NWRC.

“Biasanya haiwan yang dihantar ke sini akan dilepaskan semula ke habitat asal apabila sudah sihat.

“Namun, Yoep Tapah terkena jerat. Haiwan yang terkena je­rat agak berbahaya kepada orang awam. Ini kerana ia akan menyerang apabila bertemu manusia.

“Itu konflik apabila berlaku kecederaan dan untuk dilepaskan balik ke habitatnya di Hutan Simpan Tapah dekat sini agak sukar.

“Keadaan Yeop Tapah stabil ke­rana jerat tersebut kena pada bahagian bawah pergelangan kaki dan hanya menyebabkan ia bengkak. Kita jangkakan ia tidak akan mengalami sebarang kecacatan dan akan kembali normal dalam beberapa hari lagi,” katanya pada sidang media pada Selasa.




Dalam pada itu Rozidan berkata, pihaknya turut melakukan soal siasat terhadap Orang Asli berkenaan di bawah Seksyen 29 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya melihat faktor yang mengancam populasi hidupan liar adalah jerat. Apabila seseorang itu memasang jerat dan tinggalkannya, mungkin haiwan itu mati tanpa dia sedar dan di situ akan berlaku kezaliman.

“Oleh itu, saya seru masyarakat agar tidak memasang jerat sewenang-wenangnya kerana akan menyebabkan hidupan liar mati dalam keadaan sengsara,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain