PETALING JAYA: Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Jabatan Perdana Menteri, Abdul Adzis Abas bakal menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Ketua Pengarah Ke-11. Pelantikan Abdul Adzis yang juga graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sejarah dan Pendidikan (Pengkhususan Sejarah dan Bahasa Melayu) itu berkuatkuasa Jumaat. Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menyebut, pengalaman dan sumbangan besar Abdul Adzis mendorong pihaknya memberi kepercayaan dan amanah untuk beliau menerajui DBP. "Perubahan tampuk pimpinan ini semestinya mampu menggalas fungsi utama DBP dan dapat merealisasikan jiwa besar organisasi yang tercipta dari suatu zaman dan lidah rakyat seperti diwartakan mengikut Akta DBP 1956. "Ia menggariskan pembinaan dan memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, selain perkara dasar dan penyelidikan, pembinaan, pengembangan bahasa dan sastera, penerbitan dan khidmat pengurusan DBP," katanya. Ketua Pengarah DBP sebelum ini, Datuk Dr Awang Sariyan menamatkan khidmatnya secara kontrak pada 31 Januari. Awang yang memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah pada 1 Januari 2012 dikenali sebagai pakar linguistik dan pernah bertugas di pelbagai universiti di negara ini seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM), selain pernah menduduki Kursi Pengajian Melayu Malaysia China di Beijing Foriegn Studies University (BFSU) selama empat tahun. Sebelum ini, jawatan Ketua Pengarah DBP disandang oleh Datuk Termuzi Aziz selama empat tahun bermula tahun 2009 yang menggantikan Datuk Dr Firdaus Abdullah.