PETALING JAYA: Malaysia dan Bangladesh akhirnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang dibawah sistem kerajaan kepada kerajaan (G2G) Plus. Menurut Daily Star, Menteri Penggajian Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, Nurul Islam dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot menandatangani MoU tersebut di Pejabat Kebajikan Ekspatriat Dhaka kira-kira pukul 10 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia). Kabinet Bangladesh pada 8 Februari meluluskan draf MoU itu walaupun mencetuskan kontroversi selepas Malaysia mengumumkan akan membawa masuk pekerja Bangladesh melalui sektor swasta. Di bawah perjanjian itu, levi bagi pekerja Bangladesh ditetapkan pada RM1,946 (Tk37,000). Perjanjian itu mencetuskan beberapa kontroversi termasuk Agensi Pembekal Antarabangsa Pertubuhan Bangladesh (Baira) menandatangani surat bantahan mengenai kemungkinan wujud monopoli oleh 'sindiket yang diterajui sebuah syarikat Malaysia' dalam pengambilan pekerja Bangladesh di sana. Terdahulu di San Francisco, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan membincangkan keputusan kerajaan untuk merekrut 1.5 juta pekerja Bangladesh dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Najib, yang berada di luar negara untuk lawatan kerja ke California, Amerika Syarikat berkata kerajaan akan memastikan sebarang langkah diambil untuk memenuhi keperluan ekonomi.