KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan kanan yang bertugas di klinik di bangunan Parlimen, Dr B. Sugumaran kini ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui polis di sebuah hotel di Pudu pada Jumaat. Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran yang telah membuat laporan polis mengenai kehilangan doktor berusia 50 tahun itu berkata, Dr. Sugumaran dipercayai sedang menjalani rawatan kemurungan dan berharap privasinya tidak diganggu. Sepupunya, D Nithiananthan yakin Sugumaran berada dalam keadaan sihat walaupun hampir dua bulan hilang tanpa dikesan. Malah Nithiananthan juga masih tertanya-tanya kenapa sepupunya itu berkelakuan demikian. "Dia ada menghubungi saya dari balai polis pada Jumaat dan saya bertanyakan keadaannya. "Dia hanya menjawab dirinya okay dan suaranya juga kedengaran okay. "Tetapi saya masih belum berjumpa dengannya kerana keluarga saya ada upacara sembahyang untuk saudara yang meninggal dunia di Port Dickson. "Saya belum menerima maklumat lanjut kerana hari minggu dan doktor belum ada di sana lagi," jelasnya. Sugumaran yang tidak kembali ke rumahnya di Taman Sri Rampai di Setiawangsa, Kuala Lumpur, sejak 3 Januari berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, ditempatkan di klinik di bangunan Parlimen sejak 10 tahun yang lalu. Polis menemuinya dalam keadaan selamat di hotel bajet di Pudu, 7.30 Jumaat malam. Sebelum itu, Sugumaran dipercayai menginap di hotel bajet di Batu Caves selepas pihak polis menemui beberapa barang peribadi doktor itu seperti beg pakaian dan telefon bimbit dalam bilik hotel yang diinapinya sejak bulan lepas. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, kementerian sedang menunggu keputusan pemeriksaan perubatan Sugumaran sebelum membuat keputusan berkaitan tindakannya itu. "Jika dia memberikan alasan dan keputusan rawatannya memuaskan, hukuman dibuat berdasarkan jawapannya. Dia mungkin diberi surat amaran atau hukuman lain," katanya.