JOHOR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri menggesa majikan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) supaya berdaftar menerusi program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin, yang dilaksanakan mulai Isnin lepas. Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata program itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah Pati yang berada di negara ini dengan tepat. "Kementerian berharap program pendaftaran dalam talian ini berjaya mendaftarkan Pati yang berada dalam negara ini. Sempadan negara kita luas, kita mahu mereka tampil ke depan dan dapatkan permit kerja yang sah," katanya. Nur Jazlan yang juga anggota Parlimen Pulai berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia (BKP1M) di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Sri Rahmat, Tampoi, di sini, Ahad. Beliau berkata pendaftaran berkenaan yang dilakukan menerusi portal rehiring.imi.gov.my turut diharap dapat menghapuskan penggunaan ejen bagi mendaftarkan pekerja asing. Katanya, ini kerana pendaftaran program dilakukan sebelum ini dituduh tidak berjaya oleh sesetengah pihak dengan alasan terlalu banyak orang tengah dilantik bagi melakukan urusan pendaftaran. Menurut Nur Jazlan, tiada tempoh had masa ditetapkan untuk pendaftaran program tersebut dan ia selaras dengan keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati mengenai keperluan sebenar tenaga kerja asing. "Program ini akan dijalankan selagi ia diperlukan sebab itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah umumkan penangguhan pengambilan pekerja asing semasa program ini dijalankan. "Kalau tidak, program ini tidak akan berjaya kalau kita masih ambil pekerja baharu," katanya dan menambah dianggarkan terdapat beratus ribu pekerja asing di negara ini yang tidak memperbaharui permit kerja mereka. Nur Jazlan berkata pihaknya amat serius dalam melakukan program tersebut dan sehubungan itu, penguatkuasaan juga akan ditingkatkan lebih agresif bagi menahan mana-mana Pati yang berdegil untuk berdaftar dengan program tersebut. Beliau dalam pada itu, turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak tertentu terutama penulis blog yang sengaja menggunakan isu memorandum persefahaman (MoU) pekerja asing Bangladesh untuk mengelirukan rakyat berkaitan penempatan pekerja asing di negara ini. Katanya, rundingan mengenai pekerja asing Bangladesh dijalankan hampir setahun dan membabitkan pekerja yang ditawarkan ke semua negara, bukan hanya di Malaysia.