suria

Warga Bangladesh Didenda Guna Sijil Kelahiran Orang Lain

Gambar hiasan.

GERIK: Seorang lelaki warga Bangladesh pada Khamis didenda RM2,000 atau penjara dua bulan atas kesalahan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain selama 15 tahun.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho memerintahkan tertuduh yang dikenali sebagai Ahmad Basir, 38, merujuk kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan oleh Pegawai Penguatkuasa Pendaftaran, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak pada 11.40 pagi, 18 Februari lepas di Ipoh kerana memberi maklumat palsu untuk memohon kad pengenalan.

Pada 11 Disember 2001, tertuduh telah membuat permohonan di JPN Gerik menggunakan sijil kelahiran nombor C749050 milik orang lain bernama Ahmad Basir Mat Rozali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari JPN Perak Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang datang secara sah ke negara ini menggunakan laluan udara pada 1991 membuat rayuan kerana mempunyai isteri yang merupakan rakyat tempatan dan empat orang anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Ahmad Firdaus memohon kepada majistret supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal kerana melibatkan aspek keselamatan negara.

Tertuduh kemudian membayar wang denda itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain