suria

Pesawat Bombardier Berkesan Padam Kebakaran Hutan Di Kuala Baram - Shahidan

SERIAN: Dua pesawat Bombardier yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan di Kuala Baram, Miri menjalankan tugasnya dengan berkesan sepanjang tiga hari lepas.

Bagaimanapun, angin kuat di kawasan terjejas memarakkan dan menjadikan api merebak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim kepada media selepas melawat pusat pemindahan banjir di sini, Khamis.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu akan diteruskan pada Khamis.

Menurutnya, ketika ini, Malaysia memiliki dua pesawat jenis itu dan merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang memilikinya.

"Kalau ada satu lagi, memang sungguh baik, tetapi kami perlu tangguhkan pembeliannya berikutan keadaan ekonomi semasa.

"Pesawat ini sangat sesuai kerana ia boleh terbang laju, membawa banyak air untuk menyembur api dan boleh terbang rendah," katanya.

Shahidan berharap, sebaik sahaja kebakaran yang mengakibatkan kewujudan jerebu di Miri ini dapat dipadam, pihak berkuasa akan mencegah perbuatan membakar hutan secara terbuka bagi tujuan pertanian atau aktiviti haram lain yang berkaitan dengannya.

"Kebakaran hutan ini berlaku kerana wujud aktiviti yang melanggar undang-undang," katanya.-- Bernama 


Artikel Lain