suria

Aspek Penguatkuasaan Premis Layan Diri Diteliti

Pegawai penguatkuasa KPDNKK meneliti notis caj perkhidmatan yang disalahguna premis layan diri susulan pendedahan mStar Online, Rabu.

PETALING JAYA: Proses merangka pindaan Akta Perlindungan Pengguna bagi mewujudkan peraturan baharu berkaitan caj perkhidmatan akan diteliti supaya dimasukkan aspek penguatkuasaan premis yang beroperasi secara layan diri.

Mengikut rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melarang premis yang beroperasi secara layan diri mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, ketiadaan peraturan membabitkan premis layan diri yang mengenakan caj perkhidmatan menyukarkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan.

Katanya, peraturan sedia ada hanya melibatkan notis caj perkhidmatan yang wajib dipamerkan di premis.

"Sebab itu pindaan akta yang kita akan buat mesti ada beberapa perkara. Butiran-butiran ini kita kena bincang dengan bahagian undang-undang.

"Kita perlu teliti setiap butirannya dan segala kelemahan akta sekarang akan kita perbaiki dan jadikannya sebagai peraturan baharu," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai operasi penguatkuasaan pada Rabu terhadap sebuah restoran di Damansara yang beroperasi secara layan diri tetapi mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan.

Operasi yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDNKK Selangor itu susulan laporan mStar Online pada pagi Rabu mengenai tindakan premis berkenaan. 

Alias bagaimanapun mempersoalkan kewajaran premis-premis yang mengenakan caj perkhidmatan sedangkan pelaksanaan gaji minimum telah ditetapkan kerajaan.

"Isunya kenapa restoran-restoran kenakan caj perkhidmatan? Kalau kata alasan gaji, kenapa tidak ikut gaji minimum?

"Kalau kata kos tenaga kerja tinggi, kenapa hendak ambil terlalu ramai pekerja? Majikan sepatutnya bijak menguruskan perniagaan dengan kos yang efektif," katanya sambil menambah kos efektif itu membolehkan harga barang atau perkhidmatan ditawarkan lebih rendah kepada pengguna.

Sehubungan itu katanya, sama ada operasi layan diri atau tidak, premis tidak sewajarnya mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna.

"Kita masih boleh faham kalau ada majikan yang ada CA (perjanjian kolektif antara majikan dan kesatuan sekerja) sebab mereka sudah ada perjanjian.

"Tetapi yang tak ada CA... apakah logiknya? Mereka tidak patut kenakan caj perkhidmatan," tegas Alias.

mStar Online pada Selasa lalu melaporkan KPDNKK dalam proses merangka peraturan baharu bagi mengenakan tindakan terhadap premis berkaitan caj perkhidmatan mengikut pindaan Akta Perlindungan Pengguna.

Peraturan baharu itu bertujuan untuk memperkasakan aspek penguatkuasaan dan memberi lebih jaminan perlindungan ke atas pengguna.


layan diri, KPDNKK, caj perkhidmatan

Artikel Lain