PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin digantung tugas sebagai timbalan presiden Umno semasa Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat. Beberapa Ahli MT yang dihubungi berkata tindakan tersebut mungkin berlaku susulan beberapa kritikan menerusi kenyataan dan ucapan yang dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu berkaitan 1MDB. Kenyataan terbaharu yang dibuat semasa pertemuan dengan pemimpin cawangan Umno di Port Dickson pada minggu lalu mungkin mengeruhkan lagi keadaan. Seorang Ahli MT memberi bayangan bahawa penggantungan itu hampir pasti kerana Umno tidak boleh memiliki seorang pemimpin yang memegang jawatan tertinggi menyerang presiden parti dengan cara tersebut. Di bawah perlembagaan Umno, Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti dan diberi kuasa untuk membuat kata putus mengenai hal berkaitan parti. Keputusan yang dibuat MT hanya akan digantikan dengan Perhimpunan Agung. Sumber Umno berkata laporan mengenai ucapan dan kenyataan yang dibuat bekas timbalan perdana menteri itu sejak beberapa bulan lalu akan disediakan bersama dalam mesyuarat tersebut. Laporan itu dikumpul oleh sebuah jawatankuasa dibawah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. "Kami mendengar Nazri (Datuk Seri Nazri Aziz) akan menjadi individu yang mengemukakan usul penggantungan tersebut dan menetapkan jenis tindakan terhadap Muhyiddin," kata seorang lagi Ahli MT Umno. Sekiranya penggantungan itu berlaku, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diamanahkan untuk menjalankan tugas timbalan presiden. Namun, timbalan perdana menteri itu tidak akan dilantik sebagai pemangku jawatan timbalan presiden kerana perlembagaan parti tidak menyediakan peruntukan bagi kedudukan seperti itu. Kali terakhir Majlis Tertinggi membuat keputusan drastik apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada parti pada 1998. Desas-desus mengenai Muhyiddin akan dikenakan tindakan hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Seorang demi seorang pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan mengkritik Muhyiddin dengan ada yang mendesak beliau untuk meletak jawatan jika tidak lagi boleh bekerjasama dengan presiden parti. Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mengkritik Muhyiddin dalam satu sidang media dan meminta beliau meletak jawatan sebagai No.2 dalam parti jika tidak lagi boleh membantu presiden sebagaimana yang ditetapkan dalam perlembagaan parti. Pada Rabu, Ahli Majis Tertinggi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Muhyiddin sepatutnya berundur dan bertanding pada pemilihan parti akan datang jika tidak bersetuju dengan amalan parti itu. Chat Kumpulan Ketua Umno Bahagian menerusi aplikasi Telegram turut sibuk membincangkan mengenai agenda dalam mesyuarat pada Jumaat. Ketua Bahagian Umno Kapar, Datuk Faizal Abdullah berkata beberapa ketua bahagian merasakan ia masa yang tepat untuk Majlis Tertinggi bertindak.