KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno berlangsung tanpa kehadiran Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bekas timbalan perdana menteri itu tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan petang Jumaat ketika tumpuan diberikan kepadanya. Difahamkan Muhyiddin tidak hadir kerana beliau kini berada di luar negara. Kehadiran Muhyiddin pada mesyuarat kali ini turut ditunggu-tunggu pihak media di lobi Menara Dato'Onn selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden. Nazri yang juga Ahli MT Umno, dilaporkan akan membuat aduan rasmi terhadap Muhyiddin supaya perkara itu boleh dirujuk kepada lembaga disiplin parti. Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion. Sementara itu Najib tiba untuk menghadiri mesyuarat pada pukul 3.35 petang disambut oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sebaik tiba beliau diiringi ke majlis pelancaran buku berjudul 'Najib Razak Kembara Politik - 40 Tahun' yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri. Buku tersebut diterbitkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.