PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara bersetuju untuk menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno pada mesyuarat yang diadakan petang Jumaat. Penggantungannya yang berkuatkuasa serta-merta itu ditetapkan sehingga berlangsungnya pemilihan Umno akan datang, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Berikut adalah perjalanan politik Muhyiddin, dari tahun 1971 hingga Februari 2016: 1971: Mula menceburi bidang politik dengan menyertai Umno Bahagian Pagoh sebagai ahli biasa. 1976: Dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Pagoh dan Setiausaha Bahagian. Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Umno Johor. Julai 1978: Bertanding kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum dan menang. Ketika itu beliau berusia 31 tahun. Julai 1981: Dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri. April 1982: Mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Beliau juga menjadi Ketua Pemuda Umno Johor dan Exco Pemuda Umno pada tahun yang sama. Jun 1983: Bertukar portfolio apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri. Mei 1984: Dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Pagoh, mengalahkan bekas Menteri Besar Tan Sri Osman Saat. Beliau juga bertanding untuk jawatan MT, tetapi tidak cukup undi. Ogos 1986: Bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum dan menang kerusi Bukit Serampang di Johor. Beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri besar keempat di negeri ini dan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor. Oktober 1990: Mempertahankan kerusi DUN dan dilanjutkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai menteri besar untuk penggal kedua. November 1990: Bertanding jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti, tetapi kalah. November 1993: Bertanding jawatan Naib Presiden Umno sekali lagi, dan menang. April 1995: Kembali bertanding di kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum yang kesembilan dan menang, dengan itu berakhir tempoh perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Johor. Mei 1995: Dilantik ke dalam Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan. 1996: Gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno, kalah teruk kepada pesaing beliau. November 1999: Mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum dan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Mei 2000: Kembali mendapat tempat sebagai Naib Presiden dalam pemilihan Umno. Beliau mengekalkan jawatan selama lapan tahun. Mac 2004: Mempertahankan kerusi Pagoh pada pilihan raya umum, dan telah dilantik sebagai Menteri Pertanian oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mac 2008: Walaupun BN berdepan kesukaran pada pilihan raya umum, Muhyiddin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan selesa dan dibalas dengan portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. April 2009: Menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam negara. Oktober 2009: Bertanding dan menang jawatan Timbalan Presiden Umno selepas bersaing sengit dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Mei 2013: Mempertahankan jawatan dalam Kabinet dan Parlimen selepas pilihan raya umum ke-13. Oktober 2013: Terus memegang jawatan timbalan presiden Umno, menang tanpa bertanding selepas parti mencapai kata sepakat bahawa dua jawatan tertinggi tidak perlu dipertandingkan. 28 Julai 2015: Dipecat sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet, selepas memperosoalkan tentang pengendalian Najib dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sumbangan politik RM2.6 bilion. Muhyiddin telah digantikan oleh Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai timbalan presiden Umno. Disember 2015: Secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib pada himpunan awam, sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno. Beliau dihalang daripada menyampaikan ucapan pada PAU 2015. 26 Feb 2016: Digantung sebagai timbalan presiden Umno sehinggapemilihan parti akan datang. Tugas-tugas diambil alih oleh Ahmad Zahid.