suria

KDN Akan Tubuh J/Kuasa Penyemakan, Penilaian Hadis - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis bagi menapis dan menyemak hadis demi menjaga kesahihannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember lepas memutuskan supaya fungsi penapisan dan penyemakan hadis dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

Katanya, dua garis panduan sedang disiapkan bagi melaksanakan fungsi kawalan hadis iaitu Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

"Pengawalan hadis oleh KDN bertujuan menjaga kesahihan teks hadis, sekali gus mengawal penyebaran hadis-hadis palsu dalam masyarakat khususnya melalui penerbitan. 

"Pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap penerbitan termasuk kitab-kitab hadis dan buku-buku agama bagi mengawal penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam satu kenyataan selepas beliau mempengerusikan pertemuan dengan anggota Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) di sini.

Pada peringkat itu, katanya, kawalan hadis akan dilakukan dengan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Selain itu, usaha jangka panjang perlu dilakukan untuk mewujudkan akta khusus bagi mengawal hadis seperti Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 yang khusus bagi mengawal Al-Quran, katanya.

Mengenai isu Al-Quran, Ahmad Zahid menegaskan bahawa terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang. 

Menurutnya, ia selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-24 pada 5 hingga 6 Jun 1989, yang memutuskan bahawa 'adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan Al-Quran'.

"Sejak akhir-akhir ini, LPPQ telah mengesan terdapat penjualan naskhah Al-Quran yang diimport tanpa kelulusan KDN dan didapati dijual secara meluas termasuk dalam talian.

"Antara kesalahan yang dikesan pada Al-Quran yang diimport ialah menggunakan  tulisan rumi dalam penulisan ayat Al-Quran dan terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab. 

"Bagi memastikan teks Al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan, masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk berhati-hati atau mendapatkan naskhah Al-Quran dengan memastikan naskhah berkenaan telah diperakui oleh LPPPQ," kata Ahmad Zahid. 

Sementara itu, Pengerusi LPPPQ Tan Sri Harussani Zakaria yang juga Mufti Perak dalam sidang media selepas perjumpaan itu berkata, Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis dijangka ditubuhkan pada Jun ini.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang hadis, katanya.

"Banyak orang guna hadis dalam surat khabar tanpa menyebut periwayat. Kesahihannya boleh dipersoalkan. Jadi, perlu ada badan yang mengawal selia perkara ini," jelas beliau. - Bernama

Artikel Lain