suria

Kami Juga Seperti Tun M, Muhyiddin Tuntut Reformasi Institusi - Pakatan Harapan

PETALING JAYA: Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap tindakan kerajaan adalah sama dengan Pakatan Harapan, kata pemimpin Pakatan Harapan.

Menyifatkan keputusan Dr Mahathir keluar dari Umno dan tuntutan Muhyiddin terhadap reformasi institusi sebagai "perkembangan yang dialu-alukan", pakatan pembangkang berkata, mereka turut mahukan pembaharuan institusi.

"Kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini menunjukkan penerimaan mereka bahawa sistem (ketika ini) memusatkan kuasa di tangan perdana menteri adalah berbahaya.

"Pendirian yang meluas itu sama dengan prinsip yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini, bagi menuntut reformasi institusi secara menyeluruh," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mat Sabu dalam satu kenyataan pada Selasa yang disokong oleh pemimpin-pemimpin parti komponennya.

Menurut Pakatan Harapan, rakyat mahu kepentingan politik dan perbezaan diketepikan bagi "menyelamatkan negara ini".

Ia turut mengumumkan bahawa ia akan mengadakan perbincangan dengan semua yang berminat untuk mengambil bahagian dalam kempen mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan serta tuntutan reformasi institusi.

Menurut kenyataan itu, butiran mengenai perbincangan berkenaan akan diumumkan selepas majlis presiden Pakatan Harapan pada minggu ini.

Pakatan Harapan

Artikel Sebelum

Artikel Lain