suria

Jiran-Jiran Sukar Percaya Bayi Dicampak Ke Bawah Flat

KUALA LUMPUR: Jiran-jiran kepada ibu yang didakwa mencampak keluar seorang bayi baru lahir dari tingkat 18 sebuah flat tidak percaya dia tergamak bertindak seperti itu.

Mereka berkata, wanita berusia 39 tahun itu sering dilihat bersama anaknya yang berusia lima tahun dan sukar untuk bersosial dengan penduduk lain di rumah pangsa Danau Kota, Setapak di sini.


Jiran sebelah rumahnya yang hanya memperkenalkan diri sebagai Jessy berkata dia dilihat sentiasa sibuk dengan anak perempuannya.

"Dia tak meluangkan masa untuk berbual dengan kami," kata Jessy ketika ditemui pada Khamis.

Dia juga tidak pernah mendengar sebarang kekecohan berlaku di rumah wanita itu sepanjang tinggal di situ.

Dia dan jiran-jiran yang lain sukar untuk mempercayai bahawa seorang ibu boleh melakukan perkara kejam seperti itu terhadap seorang bayi.

Jessy juga tidak menyedari bahawa wanita itu mempunyai masalah rumahtangga, sambil menambah bahawa dia tidak kelihatan bermasalah atau marah.


"Malam sebelum polis datang, saya telah pergi ke rumahnya untuk meminjam barang. Dia nampak biasa dan tak nampak seperti dilanda masalah," katanya.

Keesokan harinya, pada Isnin, dia dikejutkan dengan suasana kecoh di luar flatnya dan mendengar bahawa wanita itu didakwa membuang bayi yang baru lahir di bangunan itu, katanya.

"Mula-mula saya fikir ia adalah 'mustahil' kerana dia sangat sayangkan anaknya yang berusia lima tahun," kata Jessy, sambil menambah dia juga tidak pernah melihat jirannya dalam keadaan sedang hamil.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata wanita itu, seorang ejen hartanah, tidak mempunyai rekod penyakit mental dan ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Polis juga sedang mencari suaminya manakala anaknya sedang dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada Selasa, bedah siasat mendapati bahawa bayi yang baru lahir itu masih hidup ketika dicampakkan ke bawah dari unit di flat itu.

Polis berkata, ini bertentangan dengan kenyataan wanita itu yang mendakwa bayi itu meninggal dunia ketika lahir.
campak bayi, flat Danau Kota

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain