TANJONG KARANG: Seorang suri rumah rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Parit 2, Sungai Burong di sini, pagi Jumaat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata mayat Khalijah Yahya, 55, yang rentung hampir 80 peratus itu ditemui di bahagian tengah rumah. "Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran melibatkan rumah itu kira-kira pukul 10.01 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. "Semasa tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan membakar hampir 60 peratus rumah jenis kelas B itu...kami menemui mayat mangsa selepas api dapat dikawal kira-kira setengah jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Katanya, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.54 pagi. Mayat Khalijah telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.