BATU GAJAH: Pemilik kedai makan, Jamaludin Saaid hilang kata-kata selepas 37 orang mengalami keracunan makanan pada Jumaat. "Tak tau apa nak cakap...saya rasa berat hati," jelas Jamaludin,63. Jumaat, 37 orang terdiri daripada 30 lelaki dan tujuh wanita berumur lingkungan dua hingga 71 tahun dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) kerana mengalami muntah dan cirit birit dipercayai keracunan makanan. Isterinyam Azmi Ramli,54, yang telah 15 tahun menguruskan kedai makan tersebut mengakui pertama kali berdepan dengan insiden seperti ini. "Kami membeli bahan-bahan dari pasaraya yang sama di Batu Gajah ...kami tidak mempunyai musuh dalam perniagaan. Buat masa ini, saya hanya mampu berdoa agar mereka semua cepat sembuh," jelas Azmi. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon yang mengesahkan kejadian itu berkata makanan itu dipercayai dicemari racun serangga jenis organo fosfat. Dua puluh empat daripada mangsa kemudian dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada petang hari yang sama, sembilan masih menerima rawatan di HBG, manakala empat disahkan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Semua mangsa mengalami simptom-simptom seperti sakit kepala, muntah, cirit-birit, tidak keruan, sakit otot dan jantung berdebar. Norhafizah Abdul Manaf,22, yang bekerja di sebuh kilang di Siputih berkata, rakannya selalu membeli sarapan di kedai makan tersebut. Namun situasi berbeza dialaminya pada Jumaat. "Saya bersarapan dengan bihun goreng. Selepas 15 minit, saya rasa seperti pening dan mula muntah. Saya tidak berada selesa. "Kawan saya menghantar ke hospital dan saya ditahan di wad. Sekarang keadaan saya lebih baik," jelasnya. Seorang lagi wanita yang turut mengalami nasib sama, K. Mariammah,30, memberitahu dia agak terkejut selepas mengetahui makanannya dicemari kerana sudah bertahun menjadi pelanggan di kedai itu. "Tiga puluh minit selepas makan, saya pengsan. Dan sedar-sedar sudah berada di katil hospital. "Malah kawan saya yang membeli makanan di situ juga turut di masukkan ke hospital," jelasnya yang mendakwa ramai kawan-kawannya mengalami masalah ini. Dr Mah berkata, kementerian kesihatan telah menyita kedai makan tersebut dan turut melakukan siasatan ke kilang-kilang berdekatan. "Kami akan menyelesaikan masalah ini sebaik mungkin. Dan pihak kesihatan juga akan mendapatakan senarai kilang yang mengguna organo fosfat," jelasnya. Beliau juga turut menasihatkan kepada sesiapa yang membeli makanan di kedai itu pada Jumaat agar melakukan pemeriksaan kesihatan dengan segera bagi memastikan mereka tidak mengalami kesan daripada racun serangga itu. Dalam masa sama, Jamaludin berkata, pihaknya akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan kes ini.