suria

"Demi Masa Depan Anak, Pakcik Rela Jadi Gelandangan"

PETALING JAYA: Hanya kerana marahkan pepijat, dia sanggup mengucapkan 'selamat tinggal' kepada rumah sewanya dan apa yang mengejutkan apabila warga emas ini memilih untuk menjalani hidup sebagai gelandangan.

"Ia bermula apabila pakcik tak tahan dengan rumah sewa pakcik yang banyak sangat pepijat.

"Bila pakcik cuba tidur di luar (kaki lima), memang jauh lebih selesa daripada tempat tinggal pakcik selama ini. Sejak itu bermulalah hidup pakcik di sini sebagai gelandangan," kata seorang gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Pakcik Mar.

Pakcik Mar, 67, ditemui ketika sedang 'mengambil angin' sebelum melelapkan mata di salah satu bangku yang diletakkan di kaki lima kawasan Jalan Masjid India, baru-baru ini.

Warga emas yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur itu berkata, keputusannya untuk menyertai komuniti gelandangan lain tidak wajar dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

Menurut Pakcik Mar, tidurnya yang tidak menentu itu adalah pengorbanan dan tanggungjawabnya kepada keluarga yang kini tinggal di utara tanahair, terutama bagi membolehkan anaknya menyambung pengajian.

Jelasnya, walaupun mempunyai gaji tetap sebanyak RM1,600 setiap bulan, dia sentiasa berkira-kira dalam menggunakan sejumlah gajinya untuk membayar sewa bilik kerana menganggap masa depan anaknya lebih penting daripada segala-galanya.

"Pakcik fikir lebih baik duit sewa rumah itu diberi kepada isteri di kampung dan anak pakcik yang sedang belajar di sebuah kolej. Setiap bulan pakcik akan hantar RM1,000 ke kampung. Dengan duit itulah anak pakcik dapat sambung belajar dan Alhamdulillah pengajiannya akan habis tak lama lagi.

"Diri pakcik tak apa, pakcik seorang di sini dan selesa hidup macam ni," katanya.

Ditanya tentang persepsi negatif masyarakat dan ahli keluarganya terhadap dirinya dan rakan gelandangan lain, Pakcik Mar berkata, dia hanya melakukan yang terbaik demi keluarga dan masa depan anak-anaknya.

"Biarlah apa orang mahu kata, pakcik hanya tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dengan cara yang termampu," katanya.

Jelasnya, adalah tidak wajar masyarakat 'menghukum' warga gelandangan kerana setiap seorang daripada mereka mempunyai kisah dan alasan sendiri memilih kehidupan sedemikian.

"Tak semua pemalas, tak semua penagih dadah, tak semua penjenayah dan tak semua menganggur.

"Kalau kami mampu menyewa, keadaan tak mendesak atau tak dibuang keluarga, tiada siapa yang mahu tidur di kaki-kaki lima bangunan macam ni," katanya.

Bercerita lebih lanjut tentang dirinya, Pakcik Mar berkata, dia tidak pernah memberitahu isteri atau anak-anaknya mengenai dirinya yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

"Mereka ingat pakcik tinggal di asrama. Anak lelaki pakcik pun ada yang tinggal di Kuala Lumpur tapi dia tak tahu pakcik tak ada rumah walaupun kami selalu berhubung melalui telefon," katanya.

Tambahnya, jika orang lain menganggap gelandangan sebagai terabai dan tidak terurus, dia merasakan sebaliknya.Malah, dia juga dapat mendisiplinkan diri untuk ke masjid untuk menunaikan solat.

"Pakcik rasa kehidupan sekarang lebih tenteram, dapat ramai kawan dan boleh berkongsi cerita.

"Walaupun hanya tidur di atas bangku, tapi ia sebenarnya lebih selesa berbanding rumah sempit. Kadang-kadang saya rasa seronok juga hidup macam ni," katanya.

Ditanya sampai bila akan menjadi gelandangan, Pakcik Mar tiada jawapan tetapi memberi bayangan bahawa dia tidak akan selama-lamanya begitu.

"Pakcik akan berkerja di tempat baharu tak lama lagi. Kalau majikan sediakan asrama yang selesa sudah tentu pakcik akan tinggal di sana.

"Masalahnya sekarang tempat tinggal pakcik sebelum ini banyak pepijat, sempit dan terpaksa menyewa dengan warga Nepal dan India. 

Dengan gaji yang tak seberapa, hanya ini saja pilihan yang ada," katanya


Artikel Lain