suria

Daftar Pemilih Automatik: Berdepan Dengan Tindakan Undang-Undang Jika Tidak Keluar Mengundi - SPR

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada setiap pilihan raya pada masa akan datang boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang jika proses daftar pemilih dilaksanakan secara automatik.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya setiap warganegara yang mencapai usia 21 tahun  secara automatik berdaftar sebagai pengundi.

Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang yang ingin menjadi pemilih perlu membuat permohonan sama ada sebagai pemilih baharu atau melalui pertukaran alamat.

Pada masa ini, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik dilihat bertentangan dengan kehendak Perenggan (b) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang secara ringkas menyatakan bahawa: “Tiap-tiap warganegara yang bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan itu atau, jika tidak bermastautin sedemikian, adalah seorang pengundi tidak hadir."

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya masih mengkaji secara serius kesan yang bakal ditanggung rakyat disebalik cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran secara automoatik ini jika ia dilaksanakan.

“Berdasarkan kajian kita, negara-negara yang melaksanakan sistem pendaftaran secara automoatik turut menjadikan tanggungjawab mengundi sebagai mandatori.

“SPR kini sedang mengkaji kesan sampingan jika ia dilaksanakan. Bersedia atau tidak kita untuk melaksanakan pendaftaran automatik dan apa pula tindakan yang akan diambil jika rakyat gagal mematuhinya.

“Bersediakah kita? Siapa yang tak keluar mengundi akan dikenakan denda. Mahukah kita buat begitu? Bersediakah rakyat jika kita nak wajibkan mereka keluar mengundi?” katanya.

Isu pendaftaran secara automoatik ini pernah disyorkan oleh jawatankuasa terpilih Parlimen bagi reformasi pilihan raya 2012.

Mengulas lanjut mengenai kekangan yang dihadapi SPR berhubung isu berkenaan, Mohd Hashim berkata, parti politik tidak seharusnya ‘lepas tangan’ dengan hanya membuat gesaan supaya ia dilaksakan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Apa tujuan buat pendaftaran secara automatik? Tujuannya supaya pengundi keluar mengundi. Namun apabila seseorang itu didaftarkan secara automatik, tetapi tidak keluar mengundi, apa gunanya kita perkenalkan kaedah ini?

"Contohnya 500,000 orang yang cukup umur didaftarkan (secara automatik) pada tahun berkenaan, bolehkah kita pastikan kesemuanya keluar mengundi?

“Jadi secara logiknya daripada angka 70 peratus (purata peratusan keluar mengundi semasa), kemungkinan jumlah itu menurun kepada 60 atau 50 peratus. Siapa nak bertanggungjawab? Pada masa itu (ahli politik) akan menyalahkan SPR pula,” katanya.

Selain itu, menurut Mohd Hashim, kerajaan juga perlu membuat pindaan terhadap Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih bagi memasukkan peruntukan yang membolehkan pendaftaran secara automatik apabila seseorang warganegara mencapai umur 21 tahun.

“Saya kaji juga kenapa pengerusi sebelum saya tak buat. Nak kata tak ada teknologi, kita ada. Mesti ada alasan kenapa tak buat. Pertamanya ia berdasarkan akta kita. Cuba lihat Perlembagaan negara, pendaftaran pengundi dan mengundi bukan sesuatu yang wajib,” katanya.

SPR, Sarawak

Artikel Lain