PETALING JAYA: Jika inginkan selebriti kesayangan atau personaliti pilihan anda tersenarai sebagai calon lima teratas dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016), jangan lupa untuk terus menghantar pencalonan bagi setiap kategori sehingga 31 Mac ini. Hanya selebriti dan personaliti yang memperoleh pencalonan paling banyak yang akan layak ke peringkat seterusnya iaitu pengundian yang akan bermula 1 April ini. Pengarang Hiburan mStar Online, Niezam Abdullah berkata, pencalonan terbanyak untuk setiap kategori akan diambil kira bagi menentukan nasib calon terbabit berada dalam senarai lima teratas. "Setiap calon memerlukan lebih daripada satu pencalonan bagi kategori yang dicalonkan untuk menentukan mereka mendapat tempat dalam senarai top five. "Jadi jika anda mahu artis kesukaan atau personaliti dalam bidang tertentu itu layak berada dalam top five, anda perlu terus mencalonkan mereka sehingga proses pencalonan ditutup," katanya. Wak Doyok ditemuramah wartawan mStar Online selepas dia layak menyertai APO2016. Proses pencalonan 17 kategori APO 2016 dibuka mulai 3 Mac lalu dan akan ditutup pada hujung bulan ini. Pengguna media sosial boleh membuat pencalonan menggunakan tiga log masuk berbeza merangkumi Facebook, Twitter atau Google. Ketiga-tiga platform media sosial itu boleh digunakan untuk menghantar pencalonan bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Anda boleh mencalonkan tiga nama untuk setiap kategori. Orang ramai yang ingin membuat pencalonan boleh melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my/utama.aspx APO2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.