KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini Isnin selepas mengaku bersalah mencurah air panas pada tangan kiri seorang peniaga air, minggu lepas. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozaime Abd Rahim, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat bulan, jika gagal membayar denda itu. Rozaime didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azman Udin, 25, dengan mencurah air panas pada tangan kirinya sehingga melecur di Kelab Echo, Jalan Doraisamy, Dang Wangi di sini pada 3.30 pagi 3 Mac lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, ketika mangsa hendak masuk ke kelab itu, dia ditahan oleh tertuduh kerana cop pada tangannya (mangsa) adalah palsu. Tertuduh kemudian membawa mangsa ke sebuah restoran berhampiran untuk disoal siasat berhubung cop palsu berkenaan tetapi mangsa enggan bekerjasama menyebabkan tertuduh mencurahkan air panas ke tangan kirinya sehingga melecur. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam manakala tertuduh diwakili peguam P. Muniswar. Sementara itu, di mahkamah sama seorang tukang baik pulih peralatan muzik mengaku tidak bersalah mengugut untuk memukul, membunuh dan menakutkan bekas teman wanitanya. Shahrin Mahat, 37, didakwa membuat ugutan itu melalui e-mel yang dihantar kepada Rozita Johan, 35, di Citi Bank, Jalan Ampang di sini antara 1 tengah hari hingga 3.33 petang, 28 Februari lepas. Dia yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Majistret Erry Shahriman membenarkan Shahrin diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa. - BERNAMA