suria

MH370: 76 Waris Penumpang Fail Saman

KUALA LUMPUR: Sebanyak 76 waris penumpang pesawat MH370 memfailkan saman kecuaian terhadap Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan empat pihak lagi berhubung kehilangan 32 orang anggota keluarga mereka semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Mereka yang terdiri daripada 66 warga China, lapan warga India dan dua warga Amerika Syarikat turut menamakan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia selaku defendan dalam saman itu.

Kesemua waris penumpang itu memfailkan saman berkenaan bersama-sama dalam satu pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini Khamis lepas. Media memperoleh salinan saman itu hari ini menerusi peguam N. Ganesan.

Mereka mewakili mangsa MH370 yang terdiri daripada 26 warga China, lima warga India dan seorang warga Amerika yang menaiki pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan dijangka mendarat di Beijing, China pada hari sama.

Hari ini (Isnin), tiga lagi waris penumpang MH370 terdiri daripada dua warga Iran dan seorang warga Malaysia telah memfailkan saman yang sama melalui Tetuan Karpal Singh  and  Co.

Menurut peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili mereka, tiga saman itu berhubung kecuaian dan pelanggaran kontrak penerbangan.

Sehingga kini, sebanyak 20 tuntutan saman dikemukakan oleh waris keluarga mangsa terhadap syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, 76 waris penumpang MH370 dalam pernyataan tuntutan mendakwa kehilangan MH370 dan kematian 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu adalah disebabkan kecuaian oleh MAS.

Plaintif mendakwa MAS pada setiap masa material, merupakan pengendali MH370 dan bertanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan supaya penerbangan pesawat MH370 selamat sampai ke destinasi.

Mereka mendakwa MAS telah memungkiri kontrak pengangkutan yang dimasuki oleh syarikat itu dengan penumpang MH370 yang menyatakan bahawa MAS akan bertanggungjawab terhadap kelayakan terbang pesawat berkenaan dan keselamatan kesemua penumpang di atas kapal.

Plaintif juga mendakwa kehilangan pesawat MH370 disebabkan kecuaian DCA, TUDM dan kerajaan serta mendakwa mereka telah bersekongkol antara satu sama lain dalam menjalankan operasi dan siasatan sehingga gagal mengesan kehilangan MH370 dengan segera selain menyembunyikan maklumat yang berkaitan dengan kehilangan pesawat itu daripada umum.

Mereka menegaskan bahawa disebabkan tindakan salah oleh kelima-lima defendan, mereka telah mengalami kerugian dan kerosakan, kehilangan kasih sayang keluarga, kehilangan saraan kewangan dan mengalami kecederaan emosi dan trauma akibat insiden yang berlaku.

Oleh itu, kesemua waris itu memohon ganti rugi khas, am, teruk, kos pengkabungan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dan peguam Ganesan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan bergabung dengan dengan firma Podhurst Orseck dari Miami, Florida untuk mengendalikan kes itu.

Berdasarkan Konvensyen Montreal, waris penumpang mempunyai masa dua tahun untuk mengemukakan tindakan undang-undang berhubung tragedi MH370 dan tempoh itu akan berakhir pada Selasa.

Pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan rasminya menyatakan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Pada 29 Januari 2015, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan bahawa kehilangan pesawat itu diisytiharkan sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa serta kesemua penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban dalam insiden berkenaan. - BERNAMA


MH370, saman, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain