LUMUT: "Hati saya bersama anda," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang berkongsi perasaan dengan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang sejak dua tahun lalu. Hishamuddin yang memangku jawatan Menteri Pengangkutan ketika pesawat itu hilang, berharap semua keluarga yang terlibat, terus tabah dan bersabar. "Saya sentiasa bersama keluarga ini, doa saya bersama anda. "Ketika mengendalikan kehilangan pesawat itu, saya meletakkan kedudukan keluarga penumpang MH370 sebagai keutamaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peletakan Lunas Kapal Littoral Combat Ships (LCS) Pertama di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini, Selasa. Mengenai operasi pencarian di selatan Lautan Hindi, Hishamuddin berkata misi di lokasi tersebut sebenarnya amat tepat berdasarkan kepada penemuan flaperon sepanjang dua meter Julai lalu di Pulau Reunion serta serpihan pesawat di Mozambique baru-baru ini. "Kalau saya diletakkan dalam keadaan mereka (keluarga), saya juga akan tertanya-tanya sama ada siasatan yang dilakukan Australia, China dan Malaysia ini akan mendapat hasil yang diharapkan," katanya. Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada tengah malamnya. - BERNAMA