suria

Pindaan Undang-Undang TPPA Selesai Hujung Tahun - Mustapa

KUALA LUMPUR: Semua pindaan ke atas undang-undang dan peraturan yang berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diharap dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini bagi membolehkan Malaysia melaksanakan semua obligasi dan komitmen yang telah diambil dalam perjanjian itu dan sebelum tindakan ratifikasi dilakukan.  

"Satu jawatankuasa yang dipengerusikan Jabatan Peguam Negara dan melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan telah mengadakan mesyuarat pertama pada 5 Februari lepas untuk mengenal pasti pindaan serta program kerja untuk pindaan,"katanya pada persidangan Dewan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang pauh) yang bertanya bila kerajaan bercadang meratifikasikan TPPA dan kesan perjanjian itu sekiranya Kongres Amerika Syarikat meratifikasikannya. 

Mustapa sebelum ini dilapor berkata sebanyak 26 pindaan perlu dilakukan keatas 17 undang-undang negara sekiranya Malaysia memutuskan untuk menyertai perjanjian TPP.

Menjelas lanjut, Mustapa berkata pindaan tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu undang-undang di bawah Jabatan Kastam yang antaranya untuk mengadakan Peraturan Tempasal, undang-undang hak harta intelek dan undang-undang perburuhan.  Pada 4 Februari lepas Mustapa mewakili negara untuk menandatangani TPPA di Auckland, New Zealand. 

Berhubung proses ratifikasi di Amerika Syarikat, beliau berkata di bawah peruntukan Trade Promotion Authority (TPA) yang diluluskan oleh Kongres pada 29 Jun 2015, pihak Kongres hanya boleh meluluskan atau menolak TPPA tanpa apa-apa pindaan. 

Katanya mengikut TPA, pihak International Trade Commission (ITC) Amerika Syarikat (AS) perlu mengemukakan laporan impak TPPA kepada ekonomi AS 105 hari selepas TPPA ditandatangani. 

"Kebiasaanya hanya selepas menerima laporan ITC, barulah Presiden AS mengemukakan Implementing Bill kepada Kongres dan Kongres mempunyai 90 hari persidangan untuk membuat keputusan. 

"Bagaimanapun, TPA tidak menetapkan bila masa Presiden perlu mengemukakan Implementing Bill TPPA kepada Kongres setelah menerima laporan ITC. 

Mengenai bila ratifikasi oleh Amerika Syarikat, Mustapa berkata ia bergantung pada Presiden AS dan kelulusan Kongres.-Bernama

TPPA, Datuk Seri Mustapa Mohamed

Artikel Lain