IPOH: Hari ini genap dua tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, namun nasib pesawat itu dan seluruh penumpang serta anak kapal masih menjadi tanda tanya. Walaupun begitu, bagi anggota keluarga tiada istilah berhenti berharap, apatah lagi berhenti menunggu insan tersayang daripada menjelma di depan mata. Seperti ibu lain, Lai Chew Lai,84, tetap setia menanti dan berdoa pesawat MH370 yang membawa anaknya Tan Ah Meng, 46, akan mendarat bagi melepaskan rindu yang tidak tertahan. "Sehingga ke hari ini saya masih mempunyai harapan tinggi dapat melihat anaksaya walau dalam keadaan apa sekalipun," katanya ketika ditemui Bernama dikediamannya di Taman Kantan Baru, Chemor di sini baru-baru ini. Malah, Lai berkata beliau sering bermimpi anaknya itu pulang ke rumah seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku. Seorang anak Lai yang hanya ingin dikenali sebagai Tan berkata, beliau dan anggota keluarga yang lain sentiasa berusaha untuk memastikan untuk bahawa ibunya gembira dan turut berharap 'keajaiban' akan berlaku tidak lama lagi. Tan menaiki pesawat MH370 bersama isterinya Huang Hsiu Leng, 48, seorang rakyat Taiwan serta anak lelaki pasangan itu, Tan Wei Chen, 19. Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).