SERDANG: Spesies pokok karas atau gaharu, yang selama ini dianggap pupus selepas kali terakhir ditemui kira-kira 100 tahun lalu, berjaya ditemui semula oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM). Pokok dari genus Aquilaria atau Aquilaria rostrata itu kebiasaannya dikaitkan dengan gaharu yang bernilai tinggi. Spesies itu yang juga dipanggil Karas Gunung atau Chandan Gunung ditemui di kawasan hutan Gunung Tebu, Besut di Terengganu, kira-kira 100 kilometer dari kawasan ia pertama kali ditemui dahulu iaitu di kawasan Gunung Tahan, Pahang. Kumpulan penyelidik UPM yang diketuai Pensyarah Jabatan Pengurusan Hutan, Fakulti Perhutanan, Profesor Madya Dr Rozi Mohamed menemui populasi pokok itu semasa melakukan kajian di lapangan dengan bantuan anggota renjer dari Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pada pertengahan tahun lalu. “Pada awalnya kami menyangkakan ia spesies baharu tetapi setelah membuat perbandingan dengan spesimen berusia 100 tahun di Herbarium Botanic Gardens, Singapura kami mendapati ia adalah A.rostrata,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UPM. Penemuan terbaru ini mematikan anggapan dan kebimbangan berkenaan spesies itu sudah pupus. Selepas lebih 100 tahun sejak penemuan pertamanya, ia disenaraikan dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List dan dianggap sudah pupus. Dr Rozi berkata, spesies itu ditemui di kawasan pokok-pokok balak yang sudah ditebang, di kawasan yang berketinggian kira-kira 700 meter dari aras laut. Kata Dr Rozi, mereka telah membuat penemuan sekurang-kurangnya 50 pokok dari spesies tersebut yang berketinggian di antara 2 hingga 5 meter dan berukuran lilit (dbh) di antara 3 hingga 4 sentimeter. Ketika ditemui, pokok-pokok itu sedang berbunga dan berbuah. Menurutnya, spesies itu pertama kali ditemui pada 1911 di Kem Wray’s, Gunung Tahan oleh H.N.Ridley dan dilaporkan pada 1924, namun laporan berkenaan tidak menyatakan saiz pokok tersebut. “Spesies ini adalah endemik…(iaitu tumbuhan yang hanya ada pada suatu wilayah atau daerah tertentu saja dan tidak ditemukan di wilayah lain atau daerah) dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia sahaja dan terancam kepupusan,” kata Dr Rozi. Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti pembalakan secara mampan telah membuka laluan dan merintis jalan untuk kumpulan penyelidik UPM sampai ke kawasan habitat spesies tersebut. “Kami berjaya menemui semula populasi A.rostrata dan penemuan terbaru ini memberi sinar dan harapan bahawa satu daripada sumber alam semulajadi negara ini tidak mengalami kepupusan,” katanya lagi. Justeru, jelas beliau, kawasan berkenaan perlu dijaga dan spesies ini dipulihara agar dapat tumbuh dan membiak sebagai warisan alam serta mengelakkan daripada dicerobohi oleh pihak yang mahu mendapatkan gaharu. Menurut beliau, penyelidikan yang dijalankannya menggunakan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Kementerian Pendidikan Tinggi dan segala maklumat hasil penyelidikan dimasukkan ke dalam pangkalan data DNA yang dibangunkan khas untuk Aquilaria di Makmal Bioteknologi Hutan di Fakulti Perhutanan UPM. Katanya, hasil penemuan itu telah dilaporkan dalam BLUMEA, sebuah jurnal reputasi tinggi dalam taksonomi tumbuhan terbitan Leiden University, Belanda. Laporan itu boleh dilayari di laman web: http://www.ingentaconnect.com/content/nhn/blumea/pre-prints/content-nbc_blumea_0348