suria

Sultan Kelantan Diiringi Pengawal Bersenjata Masih Diperkatakan

Beberapa pengawal peribadi Sultan Kelantan mengiringi baginda pada majlis perasmian sidang DUN negeri, Selasa.

PETALING JAYA: Sehari selepas Sultan Kelantan berangkat merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan diiringi pengawal peribadi yang lengkap bersenjata api, senario yang mendapat perhatian ramai itu masih diperkatakan di media sosial.

Majlis rasmi itu mendapat perhatian ramai apabila pengawal peribadi Sultan Muhammad V yang mengenakan sut hitam, bertali leher dan songkok begitu gagah membawa senjata api “carbine” dan “submachine gun” sambil mengiringi baginda.

Situasi itu yang turut dimuat naik ke Facebook Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan pada Selasa turut mendapat maklum balas di kalangan orang awam sehingga petang Rabu.

Pelbagai pandangan diberikan susulan tindakan Sultan Kelantan itu, termasuk menganggap ia perlu untuk tujuan keselamatan, terutama jika ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menggugat kedudukan baginda.

Malahan, ia bagaikan seiring dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Rakyat pada hari sama bahawa terdapat cubaan untuk menculik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu oleh kumpulan militan Negara Islan (IS).

Selain itu, The Star Online melaporkan sebelum ini Sultan Kelantan sentiasa dikawal pengawal peribadi bersenjata ketika mencemar duli menghadiri majlis sosial seperti makan malam, atau berada di luar Kelantan, sejak ditabalkan pada 2010.

Semasa baginda masih Tengku Mahkota dan Pemangku Raja, baginda pernah bertitah meminta kawalan ketat dari polis semasa krisis kerabat diraja Kelantan pada 2010.

Pihak polis kemudiannya mengerahkan kawalan ketat ke atas ayahanda baginda Sultan Ismail Petra pada Mei 2010, selepas seorang pengawal keselamatan istana ditembak suspek tidak dikenali.


Artikel Lain